PBS: Jahid dilantik pemangku Timbalan Presiden, Joniston Setiausaha Agung


Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili

04/01/2021 09:44 PM

KOTA KINABALU, 4 Jan — Parti Bersatu Sabah (PBS) hari ini mengumumkan penstrukturan semula jawatan utama parti itu dengan melantik bekas Setiausaha Agungnya Datuk Jahid Jahim sebagai pemangku Timbalan Presiden PBS di bawah kuota Bumiputera Muslim.

Presiden PBS Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata bagi menggantikan jawatan Jahid, bekas Ketua Penerangan Datuk Joniston Bangkuai dilantik sebagai Setiausaha Agung dan bekas Penolong Setiausaha Agung Datuk Julita Majungki kini memegang jawatan Ketua Penerangan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tandek, Hendrus Anding dan ADUN Telupid, Jonnybone Kurum masing-masing dilantik sebagai Penolong Setiausaha Agung dan Penolong Ketua Penerangan.

"Ahli Majlis Tertinggi Mursid Mohd Rais dilantik sebagai Naib Presiden, sementara Dr Samuil Mopun dilantik sebagai Ahli Majlis Tertinggi.

"Dengan pelantikan Jahid sebagai pemimpin kedua PBS, ia bukan sahaja akan memperkukuhkan sokongan kaum Muslim kepada parti, tetapi juga memastikan sokongan sedia ada dari kaum Bumiputera Muslim terhadap PBS akan terus meningkat," katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Ongkili berkata dengan penstrukturan itu membuktikan PBS sentiasa mendengar permintaan dari penyokong semua kaum untuk meremajakan barisan kepemimpinan.

Jelasnya sebagai sebuah parti politik berbilang kaum, antara teras utama perjuangannya ialah menegakkan hak-hak Sabah seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), memerangi kehadiran pendatang asing tanpa izin dan menyokong cadangan pelaksanaan undang-undang lompat parti.

Leave a Reply

%d bloggers like this: