Mas Ermieyati berhasrat pertahan kerusi Parlimen Masjid Tanah pada PRU15


Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Dato Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar (empat, kanan) menyampaikan amanat di Majlis Amanat dan Pelancaran Hala Tuju MEDAC bagi tahun 2021 di Putrajaya hari ini. Turut bersama, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Mas Ermieyati Samsudin (tiga, kiri) dan Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) Datuk Suriani Ahmad (tiga, kanan). –fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

04/01/2021 03:55 PM

PUTRAJAYA, 4 Jan — Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Mas Ermieyati Samsudin hari ini menyuarakan hasrat, untuk mempertahankan kerusi Parlimen Masjid Tanah, Melaka pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Saya sudah komited dengan Masjid Tanah dan apa jua alasan atau apa yang terjadi, saya secara peribadi bersedia mempertahankan kerusi Masjid Tanah,” katanya ketika ditemui media selepas majlis amanat Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) dan pelancaran hala tuju 2021 MEDAC, di sini.

Mas Ermieyati memenangi kerusi berkenaan atas tiket Barisan Nasional (BN) pada PRU14. Beliau menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 13 Dis 2018, selepas keluar UMNO pada 1 Julai, dan kini beliau adalah Ketua Bersatu Bahagian Masjid Tanah.

Kenyataannya itu adalah susulan kenyataan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang menyatakan UMNO Melaka bertekad mempertahankan semua kerusi yang dimenanginya semasa PRU14 pada PRU15 akan datang.

Selain Masjid Tanah, kerusi Parlimen di Melaka yang dimenangi BN menerusi UMNO pada PRU14 ialah Jasin.

Ditanya sama ada pendirian peribadinya untuk mempertahankan kerusi itu dimaklumkan kepada pucuk pimpinan Bersatu, Mas Ermieyati berkata beliau masih menunggu respon pucuk pimpinan terutama daripada presiden parti Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Leave a Reply

%d bloggers like this: