Logo, identiti visual baharu pertandingan AFC diperkenalkan

04/01/2021 07:40 PM

KUALA LUMPUR, 4 Jan — Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) hari ini melancarkan logo dan identiti visual baharu untuk pelbagai kejohanan melibatkan pasukan kebangsaan serta kelab di rantau ini.

Ia merangkumi pertandingan Kelayakan Asia AFC (untuk Piala Dunia Qatar 2022), Piala Asia AFC, Piala Wanita Asia AFC, Piala Asia Bawah 23 Tahun AFC serta pertandingan tahunan melibatkan kelab iaitu Liga Juara-Juara Asia AFC dan Piala AFC.

Presiden AFC Shaikh Salman Ebrahim Al Khalifa berkata badan induk itu mahu menjadikan pertandingan yang dianjurkan lebih relevan mengikut pelbagai kumpulan peminat, selain menjadi wadah unik acara bola sepak tersohor di Asia.

“Kami teruja untuk memulakan Tahun Baru dengan jenama pasukan kebangsaan dan pertandingan kelab AFC yang baharu. Saya yakin identiti visual baharu ini akan bersebaran di seluruh Asia dan seluruh dunia dan saya tidak sabar untuk melihatnya disiarkan di media sosial dan siaran TV,” katanya dalam satu kenyataan.

AFC menyatakan logo baru itu akan dipaparkan pada semua pertandingan AFC pada tahun-tahun akan datang, dari venue pertandingan sehinggalah kepada siaran televisyen dan saluran media sosial.

Leave a Reply

%d bloggers like this: