Kannagi tagih khidmat Rabiatul Adawiyah bantu pemain muda Young Tigress

05/01/2021 10:46 AM

KUALA LUMPUR, 5 Jan — Jurulatih skuad Young Tigress A. Kannagi berharap kehadiran bekas pemain kebangsaan Rabiatul Adawiyah Mohamed, dapat membantu membimbing pemain muda dalam pasukan berkenaan menghadapi saingan Liga Hoki Wanita Kebangsaan, yang bakal berlangsung dari 14 Jan hingga 20 Feb ini.

Bekas pemain pertahanan kebangsaan itu percaya, pengalaman luas yang dimiliki Rabiatul Adawiyah bersama skuad wanita kebangsaan sebelum ini menjadi aset penting, dalam membimbing barisan pemain muda pasukan berkenaan, yang terdiri daripada pemain berusia di antara 18 hingga 22 tahun untuk meningkatkan kualiti permainan masing-masing.

“Kita ada lima pemain daripada skuad Projek 2026, jadi kita cuba gunakan khidmat mereka yang merupakan pemain utama, bagi membantu pasukan ini memberikan cabaran kepada pasukan lain dalam saingan liga pada musim ini,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

“Daripada lima pemain ini, dua beraksi di posisi penjaga gol, pemain pertahanan, pemain tengah dan penyerang, jadi ia merupakan satu kombinasi yang mantap untuk pasukan ini,” jelas Kannagi yang merupakan bekas jurulatih KL Wiper pada musim 2017 dan 2018.

Dalam pada itu, Kannagi menjelaskan fokusnya ketika ini adalah memperbaiki kemahiran selain mendapatkan keserasian permainan dalam kalangan pemain muda pasukan berkenaan, yang rata-ratanya terdiri daripada pelajar sekolah sukan serta beberapa buah universiti awam di negara ini.

Kannagi akan dibantu oleh dua penolong jurulatih iaitu Roshin Nordin dan Mohamad Sabri Mohamad serta pengurus pasukan Mohammad Nazrin Yahya.

Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) Datuk Seri Subahan Kamal sebelum ini mengumumkan pembentukan skuad Young Tigress, bagi memberi peluang dan pendedahan kepada barisan pemain lain yang tidak terpilih bersama skuad utama wanita negara, ketika ini.

Selain Young Tigress, lima lagi pasukan bakal bersaing pada musim ini adalah juara bertahan PKS Uniten-KPT, PDRM Blue Warriors, Sabah, Mutiara Impian-MSSPP-PSHA dan UniKL Ladies.

Leave a Reply

%d bloggers like this: