COVID-19: Thailand rekod 745 kes baharu, satu kematian

05/01/2021 01:23 AM

Oleh Linda Khoo Hui Li

BANGKOK, 4 Jan — Thailand merekodkan 745 kes baharu COVID-19 dan satu kematian hari ini, peningkatan harian tertinggi di negara ini sejak penularan wabak itu Januari tahun lalu dengan jumlah kumulatif sebanyak 8,439 kes dan 65 kematian setakat ini.

Kes terbaru kematian melibatkan seorang lelaki berusia 56 tahun dari Bangkok yang mempunyai masalah kesihatan dan meninggal dunia semalam, selepas dikesan positif dua hari lalu. Mendiang mempunyai sejarah perjalanan ke wilayah Samut Sakhon yang mula tercetus wabak itu di sana pada pertengahan bulan lalu.

Susulan lonjakan kes di negara ini, Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) hari ini mencadangkan untuk melanjutkan perintah darurat berkaitan wabak itu hingga akhir bulan depan. Tempoh darurat semasa berakhir 15 Jan ini.

Ia adalah lanjutan kali kesembilan sejak dikuatkuasakan pada 26 Mac tahun lalu bagi membendung penularan wabak itu.

Sementara itu, jurucakap CCSA Thaweesilp Wissanuyothin berkata daripada jumlah 745 kes terbaru itu, sebanyak 709 kes adalah jangkitan tempatan iaitu 577 pekerja migran, 152 warga tempatan dan 16 kes import.

Dalam takilmat harian perkembangan COVID-19 hari ini, katanya, kebanyakan kes dikesan menerusi pengesanan kes aktif serta jumlah keseluruhan 4,087 pesakit dirawat di hospital dan asrama pekerja.

Sementara itu, Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha, membatalkan arahan Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA) supaya semua restoran dibenarkan pelanggan makan di premis sehingga jam 9 malam (waktu tempatan) berbanding jam 7 malam, bermula esok.

Terdahulu, BMA mengarahkan semua restoran dan peniaga makanan jalanan menghentikan khidmat makan di premis antara jam 7 malam hingga 6 pagi, bermula esok. Bagaimanapun, pelanggan hanya dibenarkan untuk membungkus, pandu lalu dan penghantaran makanan sahaja.

Leave a Reply

%d bloggers like this: