Bomba Johor siapsiaga hadapi fenomena air laut pasang di Kota Tinggi


Keadaan kawasan perumahan yang terjejas akibat banjir ketika tinjauan fotoBernama dengan menaiki helikopter Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di sekitar Kota Tinggi hari ini. Kota Tinggi merupakan daerah yang terjejas teruk ekoran banjir kali ini melibatkan seramai 2,029 mangsa daripada 514 keluarga dan penduduk kini ditempatkan di 20 pusat pemindahan sementara (PPS). –fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

05/01/2021 12:39 AM

KOTA TINGGI, 4 Jan — Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Johor bersiap sedia menghadapi fenomena air laut pasang kira-kira jam 2.30 pagi esok, yang dijangka menyebabkan paras air banjir meningkat kepada 2.4 meter terutamanya di bandar Kota Tinggi.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor Pauzan Ahmad berkata ketika ini paras air banjir di daerah itu sedang meningkat berpunca daripada air laut pasang serta banjir termenung.

“Paras air laut pasang menyebabkan air banjir di bandar ini lambat mengalir ke laut, kenaikan paras air adalah sebanyak 0.3 meter. Kita bimbang keadaan ini akan menjadi punca peningkatan paras air banjir di malah banyak kawasan baharu akan terjejas,” katanya ketika ditemui di Jambatan Bandar Kota Tinggi, dekat sini, hari ini.

Mengenai persiapan, beliau berkata 165 anggota dan lapan pegawai ditugaskan di Kota Tinggi dengan dilengkapi masing-masing enam bot dan kereta pacuan empat roda serta dua lori telah ditempatkan di kawasan terjejas akibat banjir.

“Kekuatan bomba di Kota Tinggi ketika ini masih memadai untuk menjalankan operasi menyelamat tanpa memerlukan bantuan bomba dari daerah lain,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, JBPM pusat juga bersedia dengan ‘Forward Regional Base’ bagi zon Selatan yang bersedia membantu dari segi sumber tenaga dan logistik sekiranya keadaan banjir di kawasan itu semakin teruk.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Mohd Solihan Badri memaklumkan pihaknya telah meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) Johor untuk mengarahkan jurutera JKR daerah itu menjalankan siasatan bagi mengenal pasti kaedah yang mampu menggelakkan banjir berulang.

“Tidak boleh setiap tahun banjir, kita kena tutup jalan dan pindahkan orang ramai, kawasan ini mesti ada perancangan untuk selesaikan masalah banjir bagi jangka masa panjang,” katanya.

Beliau turut mencadangkan agar kerjasama diwujudkan antara JKR dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Pejabat Daerah Kota Tinggi bagi merancang segala bentuk pembangunan di kawasan itu.

Katanya, perbincangan akan diadakan dengan agensi terbabit bagi mengenal pasti punca berlakunya banjir serta mengatasinya dengan menambah baik sistem perparitan dan jalan.

“JKR dan JPS harus memberi pandangan setiap kali terdapat pembangunan baharu oleh pemaju swasta agar ia bencana banjir tidak berulang di masa hadapan,” katanya.

Leave a Reply

%d bloggers like this: