Banjir bawa bersama ‘rezeki’ kepada peneroka

05/01/2021 09:34 AM

Oleh Nur Faradilla Mohamad

MERSING, 5 Jan — Walaupun banjir dianggap musibah, namun bagi seorang peneroka Samin Ahmad yang menjual ikan air tawar menggunakan kenderaan pacuan empat roda di Jalan Nitar di sini, banjir yang melanda daerah ini memberi limpahan rezeki.

Warga emas berusia 63 tahun yang tinggal di Felda Nitar 2 itu berkata dia menjual ikan itu hasil tangkapannya sendiri dengan memukat di kawasan yang menjadi lubuk ikan air tawar terutamanya pada musim banjir.

Katanya, dia mula menjual ikan sejak dua hari lepas dengan hasil jualan mencecah sehingga 50 kilogram (kg) dan meningkat kepada 200kg semalam memandangkan orang ramai sudah mula menyedari kehadirannya di kawasan itu.

Selain menawarkan pelbagai jenis ikan, lokasi pilihan Samin strategik kerana orang ramai akan berhenti di kawasan itu berikutan laluan ditutup akibat banjir.

"Saya saja cuba nasib jual (ikan air tawar) di sini…alang-alang mereka tak boleh nak teruskan perjalanan sebab laluan ditutup akibat banjir, jadi bolehlah mereka ‘cuci mata’ tengok ikan sambil berbual-bual.

"Terdapat pelbagai jenis ikan antaranya ikan putih, ikan lais, ikan haruan dan ikan baung…bergantung jugalah kepada nasib," katanya ketika ditemui Bernama di sini.

Tinjauan Bernama mendapati Jalan Utama Nitar dan laluan darat ke Kampung Orang Asli Tanah Abang dan Tanjung Tuan masih ditutup kepada semua kenderaan berikutan air banjir termenung meskipun keadaan cuaca dilihat semakin baik.

Orang ramai juga dilihat tidak melepaskan peluang berkunjung ke lokasi berkenaan bagi merakamkan gambar dan video selain tidak melepaskan peluang untuk membeli ikan yang dijual Samin, dengan harga berpatutan.

Selain Samin, musibah banjir itu turut mendatangkan rezeki terpijak kepada pemuda Orang Asli, Endera Mamod, 26, yang tinggal di Kampung Orang Asli Tanah Abang di sini.

Berikutan banjir, penduduk terpaksa menggunakan bot untuk bergerak kerana laluan darat untuk ke kampung itu dinaiki air sejak empat hari lepas.

Endera tidak melepaskan peluang menawarkan perkhidmatan botnya untuk membantu penduduk yang ingin keluar ke bandar ataupun ke klinik dengan mengenakan caj sebanyak RM15 seorang.

“Selain bawa penumpang, saya juga mengangkut motosikal penduduk untuk memudahkan pergerakan mereka untuk membeli barang keperluan.

"Bagaimanapun, ada penduduk yang memiliki bot mereka sendiri. Setakat ini, keadaan dilihat masih lagi terkawal," katanya yang bekerja di sebuah rumah penginapan di daerah ini.

Leave a Reply

%d bloggers like this: