UMNO Labuan mahu calon parti itu kekal tandingi kerusi Parlimen

03/01/2021 08:24 PM

LABUAN, 3 Jan — UMNO Labuan mahu pemimpin daripada bahagian itu dikekalkan sebagai calon yang bertanding bagi merebut kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 akan datang.

Selain itu, kesemua 200 perwakilan dari 29 cawangan mengusulkan dalam Mesyuarat Perwakilan UMNO Labuan hari ini agar Ketua Bahagiannya iaitu Senator Datuk Bashir Alias dicalonkan bagi meneruskan kepimpinan parti di pulau bebas cukai tersebut.

Selain memperkasakan Muafakat Nasional, usul yang turut dibahas dan diluluskan ialah UMNO Labuan menyokong pendirian Majlis Kerja Tertinggi parti pusat menolak kerjasama dengan DAP dan Pengerusi Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Turut dicadangkan ialah pentadbiran kerajaan yang berteraskan kuasa politik Orang Melayu dan Bumiputera tanpa meminggirkan kerjasama dengan semua kaum.

Perkara itu dimaklumkan Bashir semasa sidang akhbar hari ini sambil menambah pendirian UMNO Labuan tidak berubah dan akan memastikan pulau bebas cukai tersebut diwakili pemimpin parti berkenaan pada PRU15.

“Sejak sekian lama, calon yang memenangi PRU adalah calon UMNO, sudah semesti rasionalnya pada PRU akan datang, pemimpin bahagian UMNO Labuan harus dipilih untuk bertanding bagi meneruskan legasi UMNO Labuan.

“Kita mahu pucuk pimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN) pusat dapat menyuarakan hasrat UMNO Labuan untuk pemimpin tempatan dicalonkan pada PRU nanti,” katanya.

Beliau berkata UMNO Labuan optimistik bahagian itu mampu menyumbang kerusi untuk parti dan BN berdasarkan jumlah ahli yang meningkat kepada hampir 10,000 selain mendapat sokongan pengundi berbangsa Tiong Hua dan etnik lain Sabah yang merupakan pengundi berdaftar di Labuan.

“Labuan akan terus berperanan sebagai deposit tetap untuk BN bersandarkan kebangkitan semula sokongan Melayu dan kaum lain ke atas UMNO,” katanya.

Leave a Reply

%d bloggers like this: