Melaka harap HSR diteruskan untuk rancakkan ekonomi, pelancongan

03/01/2021 10:43 PM

ALOR GAJAH, 3 Jan — Kerajaan Negeri Melaka berharap projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura yang diumumkan penamatannya Jumaat lepas, dapat diteruskan bagi merancakkan kembali sektor ekonomi pelancongan negeri ini.

Ketua Menteri Melaka Datuk Sulaiman Md Ali berkata keputusan penamatan itu dikatakan sedikit mengganggu pelan pembangunan kemajuan negeri, termasuk pembinaan koridor ekonomi baharu iaitu Melaka Waterfront Economic Zone (M-WEZ) yang bernilai kira-kira RM100 bilion.

"Apabila projek ini dibatalkan, Melaka sudah pastinya pada saya agak ‘malang’ sedikit dari segi ekonomi kerana sebelum ini kita yakin sekiranya HSR ada stesennya di Melaka, sudah pasti kawasan itu akan menjadi satu hab yang mampu memberi limpahan manfaat kepada persekitarannya.

Bila ia tidak dapat dilaksanakan, sudah pasti pelan induk keseluruhan (pembangunan negeri) yang sudah kita rencanakan sebelum ini, akan (diubah) tidak memasukkan projek HSR ini," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Masjid Tanah di sini hari ini.

Beliau berkata meskipun projek HSR ditamatkan, Projek M-WEZ yang akan dibangunkan di kawasan tambak laut seluas 6,070 hektar sepanjang 22 kilometer (km) dari Umbai ke Tanjung Bruas tetap diteruskan.

"Walaupun kedua-dua projek ini berbeza tetapi jika adanya HSR di Melaka seiring dengan M-WEZ pastinya akan merancakkan lagi pelan pembangunan negeri pada masa akan datang," katanya.

Pada 22 Julai tahun lepas, kerajaan negeri telah mengenal pasti lokasi bagi pembangunan stesen projek HSR iaitu berhampiran Bandar Hijau antara Mukim Durian Tunggal, di Daerah Alor Gajah dan Mukim Ayer Panas di Daerah Jasin, manakala laluan bagi projek HSR di Melaka akan melibatkan jarak sejauh 60 km.

Melaka antara negeri yang dipilih mempunyai stesen dilalui HSR dalam perjalanan yang dianggarkan sejauh kira-kira 350 km menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura.

Leave a Reply

%d bloggers like this: