Joo Ven muncul juara Kejohanan Badminton Purple League Pro Am


Soong Joo Ven

03/01/2021 10:40 PM

PUTRAJAYA, 3 Jan — Bekas pemain perseorangan lelaki kebangsaan, Soong Joo Ven menepati ramalan selaku pilihan utama selepas menjuarai Kejohanan Badminton Purple League Pro Am yang berakhir di Kompleks Kejiranan Presint 11 di sini hari ini.

Joo Ven bagaimanapun, terpaksa menghadapi pertarungan sengit sebelum meraih kemenangan ke atas pilihan kedua, Iskandar Zulkarnain Zainuddin yang juga merupakan bekas pemain kebangsaan menerusi keputusan 11-10, 10-11, 9-11, 11-5 dan 11-10.

Selaku juara, Joo Ven membawa pulang wang tunai berjumlah RM10,000, manakala Iskandar Zulkarnain meraih RM5,000 sebagai naib juara.

Bagaimanapun, Iskandar Zulkarnain yang turun bergandingan bersama Nur Muhd Azriyn Ayup, berjaya menebus kekecewaan berkenaan selepas mengungguli kategori beregu lelaki setelah menundukkan pilihan kedua kejohanan, Shia Chun Kang dan Wong Tien Ci dengan keputusan 10-11, 11-8, 11-10 dan 11-4.

Dalam kategori beregu campuran, pasangan bukan pilihan iaitu Boon Xin Yuan dan Teoh LeXuan muncul juara selepas mengejutkan beregu pilihan ke 3/4, Tan Kok Xian dan Wong Khan Yan menerusi kemenangan 9-11, 7-11, 11-7, 11-9 dan 11-6.

Juara dan naib juara acara beregu masing-masing membawa pulang wang tunai berjumlah RM15,000 dan RM8,000.

Kejohanan berkenaan dianjurkan oleh Purple League Sdn Bhd bagi memastikan pemain profesional negara mempunyai kejohanan kompetitif susulan pembatalan beberapa kejohanan antarabangsa akibat pandemik COVID-19.

Keputusan akhir:

(Nota: [     ] menandakan pemain pilihan)

Perseorangan Lelaki:

[1] Soong Joo Ven mn [2] Iskandar Zulkarnain Zainuddin 11-10, 10-11, 9-11, 11-5, 11-10

Beregu Lelaki:

[3/4] Iskandar Zulkarnain Zainuddin-Nur Muhd Azriyn Ayup mn [2] Shia Chun Kang-Wong Tien Ci 10-11, 11-8, 11-10, 11-4

Beregu Campuran:

Boon Xin Yuan- Teoh LeXuan mn [3/4] Tan Kok Xian-Wong Kha Yan 9-11, 7-11, 11-7, 11-9, 11-6

Leave a Reply

%d bloggers like this: