COVID-19: Thailand kesan strain virus UK

04/01/2021 12:07 AM

Oleh Linda Khoo Hui Li

BANGKOK, 3 Jan — Thailand hari ini mengesan beberapa jangkitan varian baharu COVID-19 yang lebih pantas menular dikenali sebagai B117 dalam kalangan ahli keluarga empat beranak yang tiba ke negara itu dari United Kingdom.

Ketua Pusat Virologi Fakulti Perubatan Universiti Chulalongkorn Dr Yong Pooworavan berkata varian itu, yang pertama kali dilaporkan dikesan di United Kingdom, adalah lebih mudah berjangkit dan dipindahkan.

Beliau berkata bapa, ibu dan dua anak mereka yang melakukan perjalanan dari Kent, England kini menjalani kuarantin wajib di sebuah hospital swasta di Thailand.

“Orang ramai tidak perlu bimbang tentang strain B117 kerana pihak berkuasa kesihatan awam sedang melaksanakan semua langkah berjaya-jaga yang diperlukan bagi memastikan ia tidak menular.

“Mereka (keluarga itu) kini menerima rawatan di sebuah hospital swasta. Mereka akan didiscaj dari hospital apabila selesai menerima rawatan… Tiada risiko jangkitan varian itu di Thailand,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook hari ini.

Sementara itu, Thailand akan menguatkuasakan beberapa langkah baharu bagi membendung penularan COVID-19 di 28 wilayah berisiko tinggi (yang ditetapkan sebagai kawasan berisiko tinggi di mana lebih 50 kes COVID-19 dilaporkan) termasuk Bangkok bermula esok.

Disiarkan dalam Warta Diraja petang ini, langkah itu dilluluskan Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha termasuk larangan mengadakan perhimpunan awam dan mengehadkan waktu operasi perniagaan di wilayah berisiko tinggi.

Tiada perintah berkurung dan orang ramai dinasihatkan agar mengelak melakukan perjalanan rentas wilayah. Selain itu, mereka digalakkan bekerja dari rumah.

Bagaimanapun, gabenor wilayah boleh mengumumkan langkah bersasar bagi mengekang penularan pandemik itu di wilayah masing-masing.

Dalam tempoh 24 jam lepas, Thailand mencatatkan sejumlah 315 kes baharu COVID-19 termasuk 294 jangkitan tempatan dengan sifar kematian, menjadikan jumlah keseluruhan kes kepada 7,694 dengan 64 kematian.

Sementara itu, Samut Sakhon lokasi di mana penularan terkini bermula telah melaporkan sejumlah 541 kes baharu termasuk 455 pekerja asing, demikian umum pegawai kesihatannya hari ini. Kes baharu itu tidak termasuk dalam jumlah keseluruhan jangkitan hari ini.

Setakat ini, sejumlah 2,401 kes telah dikesan di wilayah itu sejak pertengahan bulan Disember.

Thailand menyaksikan penularan gelombang kedua pandemik berbahaya itu sejak pertengahan Disember dan ia telah merebak ke 53 daripada 76 wilayah di negara tersebut.

Dalam perkembangan lain, Kementerian Pendidikan telah mengarahkan agar semua sekolah awam dan swasta di 28 wilayah berisiko tinggi terbabit ditutup mulai esok sehingga 31 Jan.

Selain itu, semua universiti di kesemua 28 wilayah akan mengendalikan kelas secara dalam talian dan kakitangan kampus akan bekerja dari rumah.

— BERNAMA

Leave a Reply

%d bloggers like this: