BAM puas hati pelaksanaan SOP dua kejohanan di Bangkok


Tan Sri Mohamad Norza Zakaria

03/01/2021 03:08 PM

KUALA LUMPUR, 3 Jan — Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berpuas hati dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) ketat yang bakal dilaksanakan oleh Persatuan Badminton Thailand (BAT) pada dua kejohanan bertaraf Jelajah Dunia Super 1000 (World Tour Super 1000) di Bangkok, Thailand pada bulan ini.

Presiden BAM Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata beliau telah mendapat jaminan daripada Presiden BAT Khunying Patama Leeswadtrakul yang menegaskan bahawa pihak penganjur tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran SOP sewaktu berlangsung kedua-dua kejohanan itu.

Dua kejohanan berkenaan adalah Yonex Terbuka Thailand dari 12-17 Jan serta Toyota Terbuka Thailand dari 19-24 Jan ini, dan kedua-dua kejohanan menawarkan hadiah wang tunai berjumlah US$1 juta (RM4.022 juta).

Beliau berkata pelaksanaan SOP ketat adalah penting memandangkan BAT turut akan menjadi tuan rumah kepada pusingan akhir Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF World Tour Finals) yang dijadualkan berlangsung dari 27-31 Jan ini.

“Memandangkan Thailand akan menjadi tuan rumah kepada tiga kejohanan dalam tempoh sebulan, ia juga akan melibatkan semua kementerian dan agensi di Thailand, dan mereka memandang ini sebagai sesuatu yang sangat serius,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

“Ini juga akan menjadi satu contoh teladan kerana (saya difahamkan) Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) juga akan menghantar wakil untuk memantau (pelaksanaan SOP) dan menjadikan ia sebagai satu contoh kepada (penganjuran) kejohanan-kejohanan lain,” tambahnya.

Antara SOP yang bakal dilaksanakan BAT adalah pemain dan pegawai yang menyertai dua kejohanan berkenaan mestilah disahkan bebas dari COVID-19 tiga hari sebelum tiba di Bangkok, selain mereka turut diwajibkan menjalani kuarantin wajib selama 14 hari di hotel yang ditetapkan pihak penganjur.

Beberapa ujian PCR (Polymerase Chain Reaction) turut akan dijalankan ke atas semua pemain dan pegawai yang terlibat semasa berada di negara berkenaan.

Sementara itu, Mohamad Norza yang Presiden Majlis Olimpik Malaysia yakin dua kejohanan itu menjadi medan terbaik untuk barisan pemain negara mendapatkan semula rentak permainan setelah lebih sembilan bulan tidak menyertai sebarang kejohanan antarabangsa susulan penularan pandemik berkenaan.

Kejohanan Badminton Seluruh England di Birmingham Mac lepas merupakan kejohanan antarabangsa terakhir yang disertai skuad negara sebelum kerajaan melaksanakan larangan terbang ke luar negara akibat pandemik COVID-19.

Perseorangan lelaki utama negara, Lee Zii Jia akan mengetuai cabaran Malaysia pada kedua-dua kejohanan di Thailand bersama beberapa pemain profesional negara, termasuk pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016, Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying.

Skuad negara dijadual berlepas ke Bangkok esok.

Leave a Reply

%d bloggers like this: