Tiga beranak yang maut dalam tragedi di Jeti Feri Triso disemadikan Selasa

03/01/2021 07:33 PM

SIBU, 3 Jan — Raut wajah Phang Wei Beng, suami kepada mendiang Lorna Ting, pemandu kenderaan pacuan empat roda yang terlibat dalam insiden kenderaan jatuh ke dalam sungai Batang Lupar mengorbankan sembilan nyawa di jeti feri Triso, kira-kira 170km dari sini Sabtu lepas; jelas kelihatan pucat dan nampak letih.

Beliau baru sahaja membakar replika wang kertas atau ‘kertas sembahyang’, salah satu adat dalam pengebumian kaum Cina, untuk mendiang isterinya itu, di rumah mayat di sini.

“Saya sedang usahakan pembiayaan untuk urusan pengebumian. Saya akan buat pilihan pengebumian yang termampu,” katanya ketika ditemui pemberita.

Phang, 56, mengesahkan mayat isteri, serta dua anaknya akan dibakar dengan abunya disemadikan di Nirvana Memorial Park di sini, Selasa.

Beberapa anggota keluarganya di sini, yang datang dari Sibu dan Kapit berhimpun di rumah mayat itu, kelihatan ada yang cuba menenangkan dan memberi kata-kata semangat kepada beliau, dan juga ibu mentuanya Munah Agon, 58.

Selain Lorna, 33, serta dua anaknya Alvin, 12, dan Wallace, 7; yang maut dalam insiden itu ialah kakak Lorna, Siti Aisha Abdullah, 36, serta lima anaknya Nor Shuhada Mohamad, 16, Khairunnisa Muhamad, 14, Mohd Aiman Mohd Hamdan, 7, Muhd Mustaqim Mohd Hamdan, 5, dan Mohd Ahmad Mohd Hamdan yang berumur empat bulan.

Leave a Reply

%d bloggers like this: