David Da Silva penyerang baharu TFC

02/01/2021 05:22 PM

KUALA TERENGGANU, 2 Jan — Teka-teki mengenai siapa penyerang utama pasukan Terengganu FC (TFC) terjawab hari ini apabila David Da Silva sah menyertai skuad Penyu untuk kempen Liga Malaysia (Liga-M) dan saingan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2021.

Menurut kenyataan TFC, pemain berusia 31 tahun dari Brazil itu mempunyai rekod cemerlang semasa membantu pasukan Persebaya muncul naib juara Liga 1 Indonesia pada 2019 dengan menghasilkan 14 jaringan daripada 17 perlawanan.

"David Da Silva telah menandatangani kontrak setahun bersama TFC. Berketinggian 185 sentimeter dan mempunyai rekod jaringan cemerlang ketika bersama pasukan lamanya (Persebaya), kami yakin beliau akan memberikan cabaran kepada pertahanan lawan di atas padang," kata TFC.

Sementara itu, ketua jurulatih TFC Nafuzi Zain ketika dihubungi berkata beliau amat teruja dengan kehadiran Da Silva sebagai penyerang utama TFC.

Katanya Da Silva yang bakal menyarung jersi nombor 14 memiliki pakej lengkap sebagai penyerang berbisa dan diharap dapat membantu menajamkan bahagian serangan yang lompang ditinggalkan Dominique Da Silva.

"Saya harap dia dapat membantu kejayaan TFC seperti ketika dia berkhidmat bersama pasukan lain sebelum ini," katanya.

Leave a Reply

%d bloggers like this: