COVID-19: Thailand usul langkah lebih ketat kekang gelombang terbaharu


Centre for COVID-19 Situation Administration (CCSA) spokesman Thaweesilp Wissanuyothin

02/01/2021 07:07 PM

Oleh Linda Khoo Hui Li

BANGKOK, 2 Jan — Pihak berkuasa kesihatan Thai mengusulkan pelaksanaan langkah lebih ketat terhadap perniagaan dan perjalanan rentas wilayah di 28 daripada 76 provinsinya termasuk Bangkok selepas gelombang terbaharu penularan COVID-19 terus menyumbang jumlah kes harian tiga angka di negara itu.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 Thaweesilp Wissanuyothin berkata langkah tersebut termasuk penutupan perniagaan dan venue di kawasan berisiko tinggi dan mengehadkan waktu operasi perniagaan di kawasan yang merekodkan lebih 50 kes sejak gelombang terbaharu tercetus.

Selain itu, orang ramai juga dinasihatkan agar bekerja dari rumah selain mengelak daripada melakukan perjalanan rentas wilayah.

“Langkah-langkah ini dicadang berkuat kuasa Isnin ini (4 Jan) hingga 1 Feb,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Beliau berkata cadangan tersebut sedang menunggu kelulusan Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha.

Sementara itu, dalam tempoh 24 jam lepas, Thailand melaporkan 216 kes baharu dan satu kematian, menjadikan jumlah terkumpul positif COVID-19 kini sebanyak 7,379 kes dan 64 kematian.

Kematian terbaharu itu merupakan seorang wanita berusia 47 tahun yang dikesan mengunjungi pusat perjudian di wilayah Chonburi. Dia yang diuji positif COVID-19 pada 30 Dis dan mempunyai masalah kesihatan, meninggal dunia di hospital.

Thaweesilp berkata daripada 216 kes baharu itu, sebanyak 182 merupakan jangkitan tempatan, 32 melibatkan pekerja asing di asrama dan dua kes dilaporkan di dua pusat kuarantin alternatif.

“Gelombang terbaharu yang dikesan sejak pertengahan Disember lepas telah merebak ke 53 daripada 76 provinsi di negara ini dan lebih sukar dibendung… kluster baharu di Bangkok serta Rayong menular ke terlalu banyak kawasan selain ada kes baharu yang sumbernya masih disiasat,” katanya.

Leave a Reply

%d bloggers like this: