Perutusan Presiden Xi Jinping sempena sambutan Tahun Baru 2021

01/01/2021 08:51 PM

BEIJING, 1 Jan — Berikut teks ucapan penuh Perutusan Presiden Xi Jinping sempena Tahun Baru 2021.

Salam sejahtera. Pada ambang tahun 2021, saya mengucapkan selamat menyambut tahun baru kepada anda semua.

Tahun 2020 merupakan tahun yang amat luar biasa. Berdepan dengan wabak COVID-19 yang melanda secara tiba-tiba, kami bertungkus-lumus mengekang penularan wabak dengan prinsip rakyat dan nyawa paling diutamakan.

Dalam detik amat sukar ini, semangat keberanian dan berganding bahu berjaya disemarakkan sepenuhnya apabila pelbagai lapisan masyarakat di negara ini tampil menggalas tanggungjawab masing-masing bagi melawan wabak.

Antara mereka yang berdedikasi dalam usaha ini bukan sahaja anggota perubatan dan tentera, tetapi juga segenap masyarakat termasuk dalam kalangan penyelidik, kakitangan komuniti, sukarelawan dan lain-lain. Mereka datang daripada pelbagai peringkat umur, melibatkan warga emas dan juga generasi muda.

Hasil sumbangan setiap individu, maka terbinanya tembok sekukuh gangsa bagi melindungi nyawa. Semangat melawan wabak dapat nyata dapat dengan keberanian bergadai nyawa, saling bahu-membahu dan pelbagai amalan yang penuh mengharukan. Kemuliaan dicipta daripada usaha yang biasa, rakyat muncul sebagai wira dan pahlawan.

Rasa simpati ditujukan kepada mereka yang dijangkiti COVID-19, manakala penghormatan pula diberikan kepada wira dan pahlawan dalam kalangan individu biasa. Saya merasa bangga dengan tanah air dan kemuliaan sikap rakyat serta semangat bangsa ini yang sentiasa teguh berjuang menangani segala kesulitan.

Ketabahan hanya dapat dilihat dalam saat getir, umpama jed terhasil setelah digosok berulang kali. Kami telah berjaya mencapai hasil yang memberangsangkan dalam usaha membendung penularan wabak dan memacukan sosioekonomi. Matlamat yang disasarkan dalam Rancangan Lima Tahun Ke-13 Pembangunan Sosioekonomi Kebangsaan telah tercapai, sementara cetakan biru untuk pembangunan lima tahun akan datang telah digariskan.

Pembentukan paradigma pembangunan baharu dipercepat dengan menyasarkan pembangunan berkualiti tinggi. China merupakan entiti ekonomi utama dunia paling awal merekodkan pertumbuhan positif. Jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara ini dijangka mencecah RMB100 trilion (RM62 trilion) pada 2020. Penghasilan bijirin pula menyaksikan tuaian lumayan selama 17 tahun berturut-turut.

Di samping itu, kemajuan yang penting turut dicapai dalam pengeksplorasian sains termasuk prob angkasa lepas Tianwen-I, prob Chang’e-5 dan kapal penyelam Fendouzhe. Pembinaan pelabuhan perdagangan bebas di Hainan turut dimulakan. Pada tahun ini juga, kita telah berjaya menangani bencana banjir yang buruk dan meminimumkan kerugian daripada impaknya.

Semasa saya membuat tinjauan di 13 wilayah, dengan suka citanya saya telah menyaksikan kesungguhan seluruh masyarakat dalam membendung penularan wabak, memulihkan operasi pengeluaran dan menerajui usaha inovasi.

Pada tahun 2020, kami melakar kejayaan bersejarah dalam membangunkan masyarakat makmur sederhana dan membasmi kemiskinan mutlak di seluruh negara. Dengan usaha gigih selama lapan tahun, hampir 100 juta penduduk di kawasan luar bandar telah keluar daripada belenggu kemiskinan berdasarkan piawaian semasa.

Saya telah menjejakkan kaki di 14 kawasan paling mundur beberapa tahun kebelakangan ini. Keteguhan kaum tani untuk memacu pembangunan dan dedikasi sehati sejiwa pegawai tempatan sering terlintas dalam ingatan. Usaha yang gigih perlu diperkasakan lagi bagi mendorong pembangunan kawasan luar bandar dan mengorak langkah ke arah matlamat mewujudkan kekayaan bersama.

Pada tahun ini, kita meraikan ulang tahun ke-40 tertubuhnya beberapa zon ekonomi khas seperti Zon Ekonomi Khas Shenzhen, ulang tahun ke-30 terbukanya Zon Kewangan Baharu Pudong di Shanghai dan pelbagai lagi.

Saya sangat terharu menyaksikan kemajuan dan pencapaian besar tempat-tempat ini. Dasar pintu terbuka yang sudah menciptakan keajaiban pembangunan, akan terus dilaksanakan dan diperluas pada masa depan, supaya lebih banyak keajaiban dalam pelbagai bidang dapat diciptakan.

Perjalanan jauh pasti ditemani kawan-kawan, dunia bagaikan satu keluarga. Selepas mengalami kesukaran sejak awal tahun ini, kami lebih memahami kepentingan dan makna komuniti berkongsi nasib sesama insan.

Saya kerap berhubung dengan rakan-rakan pelbagai negara dan menghadiri beberapa mesyuarat dalam talian, topik yang paling banyak dibincangkan adalah kerjasama dan perjuangan melawan wabak. Usaha pencegahan dan pengawalan penularan wabak masih perlu dijalankan dengan bersungguh-sungguh. Rakyat pelbagai negara harus bekerjasama untuk memerangi wabak COVID-19 dan membina dunia yang lebih baik.

Tahun 2021 merupakan ulang tahun ke-100 Parti Komunis China (PKC). Walaupun mengalami pelbagai kesukaran dalam seratus tahun ini, kami masih teguh mengekalkan cita-cita asalnya. PKC kini diibaratkan sebagai sebuah kapal besar, yang dapat membawa China mengharungi pelbagai cabaran dan sampai ke tempat tujuan. PKC yang menggalas tanggungjawab dan misi asalnya, pasti akan mewujudkan kebangkitan gemilang bangsa China.

Bertapak di titik persimpangan "dua seratus tahun", kita akan mengorak langkah baharu untuk membangunkan negara sosialis moden secara menyeluruh. Hanyalah menerusi usaha keras sahaja kami akan dapat mencapai matlamat ini.

Kami sudah menyelesaikan banyak cabaran dan kesukaran melalui usaha kuat, dan akan terus berusaha habis-habisan untuk mencipta masa depan yang lebih gemilang.

Sempena tahun baharu ini, semoga negara dan rakyat kekal aman sejahtera. Terima kasih!

Leave a Reply

%d bloggers like this: