Dua PPS dibuka ekoran banjir kilat di Johor Bahru

01/01/2021 11:33 PM

JOHOR BAHRU, 1 Jan — Dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka bagi menempatkan 314 mangsa daripada 70 keluarga selepas beberapa kawasan dilanda banjir kilat susulan hujan lebat berterusan melebihi lapan jam di Johor sejak awal pagi tadi.

Dua pusat pemindahan itu dibuka di Sekolah Agama Kampung Cahaya Baru, Masai dan Sekolah Kebangsaan (SK) Batu 10, Skudai.

Komander Operasi merangkap Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Gudang Ibrahim Omar berkata seramai 226 mangsa banjir dari Kampung Sentosa Damai, Masai telah dipindahkan ke PPS Sekolah Agama Kampung Cahaya Baru selepas kawasan itu dinaiki air setinggi tiga meter.

“Panggilan kecemasan diterima pada 4.07 petang tadi. Pihak bomba berjaya memindahkan kesemua mangsa yang terdiri daripada 48 keluarga dan operasi tamat sepenuhnya pada 9.31 malam," menurutnya dalam kenyataan di sini malam ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri R. Vidyananthan dalam kenyataan berasingan berkata seramai 88 mangsa daripada 22 keluarga di Kampung Laut Batu 10 dipindahkan ke PPS SK Batu 10 sejak 2 petang tadi.

Antara lokasi yang terjejas ialah Kampung Pasir, Kampung Teluk Serdang Baru dan Kampung Laut Batu 10 di Skudai serta Kampung Sentosa Damai di Pasir Gudang.

"Punca kejadian adalah hujan lebat seawal pagi sehingga petang melebihi lapan jam dan bertembung dengan air pasang mengakibatkan air melimpah masuk ke kawasan rumah," katanya.

Beliau juga mengingatkan mereka yang terjejas agar segera berpindah ke PPS dan mematikan semua punca bekalan elektrik apabila berbuat demikian.

Leave a Reply

%d bloggers like this: