Engku Nur Shakir tak sangka tercalon ABK20


Engku Nur Shakir Engku Yacob (Sumber: Facebook MFL)

29/12/2020 11:14 PM

KUALA LUMPUR, 29 Dis — Penyerang Terengganu FC II (TFC II) Engku Nur Shakir Engku Yacob tidak menyangka tersenarai sebagai calon Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2020 (ABK20) Virtual kerana baharu pertama kali beraksi penuh dalam Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Pemain berusia 22 tahun itu yang tercalon untuk kategori Penyerang Terbaik selepas meledakkan empat gol dalam saingan Liga Premier musim ini, menganggap pencalonan tersebut memberi seribu makna serta merupakan permulaan cemerlang untuk kariernya.

“Pencalonan ini telah memberi semangat dan motivasi yang tinggi untuk saya melakukan lebih baik pada tahun hadapan kerana saya bakal beraksi dalam Liga Super bersama skuad utama (TFC).

“Saya tidak meletakkan harapan yang tinggi, sebab secara peribadi berasakan Muhammad Shahrel Fikri Md. Fauzi calon paling layak untuk mengungguli kategori Penyerang Terbaik kerana telah menjaringkan 10 gol secara keseluruhan.

“Kalau ada rezeki saya cuba untuk menjadi sepertinya pula tahun depan,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Calon lain yang bersaing untuk anugerah itu ialah Ramadhan Saifullah Usman, Diogo Luis Santo, Fernando Rodriguez (kesemuanya Johor Darul Ta’zim), Ifedayo Omosuyi (Selangor), Casagrande (Pulau Pinang), Dominique Da Sylva (Terengganu FC), Francis Kone (Kuala Lumpur) dan Tchetche Kipre (Kedah).

Sementara itu, penjaga gol Petaling Jaya City FC Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi mengakui persaingan cukup sengit dalam menentukan pemenang kategori Penjaga Gol Terbaik pada tahun ini.

Pemain berusia 25 tahun yang telah beraksi selama dua musim bersama kelab itu berkata ia memberi pengalaman yang cukup berharga kepada beliau kerana tercalon buat kali pertama.

“Bagi saya, saya bersyukur kerana bukan senang untuk berada dalam 10 terbaik bersama pesaing lain yang lebih hebat serta boleh dikatakan musim 2020 adalah yang terbaik untuk saya dan sekurang-kurangnya kami dapat menamatkan aksi di tangga ketujuh musim ini.

“Saya tahu untuk menang agak susah dan saya boleh katakan Khairulazhan Khalid (Selangor) mungkin boleh cipta kejutan serta Farizal Marlias (JDT) merupakan calon pilihan,” katanya.

Beliau juga akan bersaing dengan Iqbal Suhimi (Kuching FA), Remezey Che Ros (UKM FC), Sharbinee Allawee (Pahang), Khairul Fahmi Che Mat (Melaka), Suhaimi Husin (TFC II), Samuel Somerville (Pulau Pinang) dan Zamir Selamat (Kuala Lumpur).

Leave a Reply

%d bloggers like this: