Polis Sarawak tahan remaja, bongkar kegiatan sindiket seludup dadah ke Indonesia

29/12/2020 05:04 PM

KUCHING, 29 Dis — Polis Sarawak berjaya membongkar satu kegiatan menyeludup syabu dan ekstasi ke Kalimantan, Indonesia, susulan tertangkapnya seorang remaja lelaki warga Indonesia Sabtu lepas.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Fisol Salleh berkata suspek berumur 19 tahun itu ditahan di Sungai Paoh, Serian, kira-kira 60 kilometer dari sini, semasa anggota polis menjalankan rondaan Ops Benteng di kawasan berkenaan pada kira-kira pukul 4.00 petang.

Beliau berkata polis turut merampas tiga bungkusan mengandungi beberapa ketulan kristal disyaki syabu seberat kira-kira tiga kilogram, dan empat bungkusan mengandungi 19,516 biji pil disyaki ekstasi susulan penangkapan itu.

“Kami mengesyaki suspek ini merupakan (anggota) satu sindiket yang (bergiat) membawa keluar syabu dan ekstasi.. Di Sarawak, harga syabu menghampiri RM50,000 bagi satu kilogram dan kita mendapat maklumat di sebelah sana (Kalimantan) harganya dua kali ganda,” katanya dalam sidang media di sini.

Menurutnya sindiket itu menggunakan laluan tikus di sempadan Malaysia-Indonesia berdekatan daerah Bau dan Serian di negeri ini untuk menyeludup keluar dadah berkenaan ke wilayah Kalimantan.

“Kita telah mendapat perintah mahkamah untuk menahan reman suspek sehingga 2 Jan depan,” katanya.

Leave a Reply

%d bloggers like this: