Kuala Lumpur United FC sedia penuhi keperluan pengendali baharu

28/12/2020 04:46 PM

KUALA LUMPUR, 28 Dis — Pasukan Kuala Lumpur United FC (KLUFC) sedia memenuhi segala keperluan Simon Elissetche jika beliau dilantik sebagai ketua jurulatih baharu skuad ‘The City Boys’ bagi menghadapi saingan Liga Super musim hadapan.

Ketua Pegawai Eksekutif KLUFC Stanley Bernard memberi jaminan barisan pengurusan serta ahli lembaga pengarah pasukan itu akan berusaha memberi segala yang diperlukan pengendali dari Chile itu bagi memastikan misi serta sasaran musim depan pasukan tercapai.

Menurut beliau meskipun Elissetche sedang menjalani proses kuarantin dan pelantikannya belum diumumkan secara rasmi, namun pengendali berusia 43 tahun itu telah diberi kepercayaan terlibat secara langsung dalam pasukan petugas pemilihan pemain KLUFC.

"Beliau (Elissetche) sedang bersedia dan ketika dalam proses kuarantin ini beliau juga sedang meneliti segala yang perlu dilakukan dalam persediaan pramusim pasukan. Sebelum ini beliau juga terlibat dalam pemilihan pemain.

Kita sedang sediakan satu pasukan terbaik untuk beliau dan secara peribadi saya serta pihak pengurusan dan lembaga pengarah akan beri segala yang kami mampu untuk pastikan beliau berjaya dalam musim pertamanya," katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Elissetche yang tiba dari Timor Leste minggu lepas dijangka menamatkan tempoh kuarantin wajib pada Rabu ini sebelum KLUFC memuktamadkan pelantikan beliau dalam masa terdekat.

Pada masa sama, Stanley berkata kelebihan Elisestche yang memiliki kemahiran bertutur serta menulis dalam Bahasa Indonesia akan memudahkan komunikasi bersama barisan kejurulatihan serta pemain.

"Komunikasi satu kelebihan yang ada pada Elissetche apabila beliau jelas boleh bercakap, menulis dan berbincang dalam Bahasa Indonesia, itu perkara terpenting bagi saya kerana kegagalan berkomunikasi boleh berlaku biarpun dengan jurulatih terbaik, " kata beliau.

Sementara itu, Stanley turut berkata keberadaan bekas pengendali KLUFC Mohd Nidzam Adzha bersama pasukan itu musim depan amat diperlukan.

Stanley berkata Mohd Nidzam yang bertindak sebagai penolong ketua jurulatih KLUFC bermula musim depan akan menjadi orang kedua terpenting selepas Elissetche.

Malah, Stanley mendedahkan Elissetche dan Mohd Nidzam telahpun bekerjasama lebih awal mengenai pembentukan pasukan serta perancangan pramusim bagi menghadapi saingan musim depan yang lebih mencabar.

"Penolong ketua jurulatih sangat penting kepada ketua jurulatih dan Nidzam akan memainkan peranan cukup besar. Kalau kita lihat Elissetche satu-satunya pertukaran (barisan kejurulatihan) dan beliau juga bersedia untuk bekerja dengan Nidzam. Mereka juga sudah memulakan perbincangan sejak sebulan lepas," katanya.

Mohd Nidzam dilantik membimbing KLUFC pada awal musim 2020 dan membawa pasukan itu ke kancah Liga Super musim depan selepas menduduki tempat ketiga dalam saingan Liga Premier musim ini.

Bekas pemain kebangsaan dan ketua jurulatih Kedah itu terpaksa melupakan hasrat membimbing KLUFC musim ini kerana tidak memiliki Lesen Pro A yang disyaratkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi setiap jurulatih untuk membimbing pasukan Liga Malaysia bermula musim 2021.

Leave a Reply

%d bloggers like this: