Nelayan berputih mata rugi RM13,000 diperdaya ‘anak perempuan’

27/12/2020 01:04 PM

KUANTAN, 27 Dis — Seorang nelayan berputih mata apabila kerugian RM13,000 selepas mendakwa ditipu individu tidak dikenali yang menyamar sebagai anak perempuanya menerusi panggilan telefon pada Jumaat lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata nelayan berusia 59 tahun itu mendakwa menerima panggilan telefon daripada individu yang mempunyai suara seakan-akan anak sulungnya tersebut pada kira-kira 11 pagi ketika masih berada di laut.

Beliau berkata suspek turut memberitahu mangsa bahawa dia telah menukar nombor telefon dan meminta nelayan itu memasukkan wang sebanyak RM5,000 untuk membeli barang perniagaan.

"Mangsa telah meminta tolong rakannya membuat transaksi berkenaan sebelum sekali lagi dihubungi suspek dan meminta wang sebanyak RM8,000 lagi kerana wang permulaan yang diterima tidak mencukupi.

"Nelayan itu telah meminta tolong majikannya melakukan transaksi tersebut. Namun, sejurus pulang ke darat mangsa menghubungi anaknya untuk bertanyakan mengenai permintaan wang tersebut, bagaimanapun anaknya menafikan telah meminta wang daripadanya," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Susulan itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Kuala Rompin kira-kira 130 kilometer dari sini semalam dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Leave a Reply

%d bloggers like this: