Sekurang-kurangnya 100 terbunuh dalam serangan di Ethiopia

24/12/2020 02:52 PM

ADDIS ABABA, 24 Dis — Lebih 100 orang terbunuh dalam satu serangan bersenjata di barat Ethiopia, kata Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Ethiopia (EHRC), pada Rabu malam.

Menurut kenyataan EHRC, pertumpahan darah itu berlaku di perkampungan Bekoji, Metekel di wilayah barat Benishangul-Gumuz sekitar 10 malam waktu tempatan (1900 GMT), Selasa.

Serangan dilakukan lelaki bersenjata yang bertindak membakar dan melepaskan tembakan ketika penduduk sedang tidur, lapor Agensi Berita Xinhua.

Kejadian itu mendedahkan bahawa "perlindungan hak asasi manusia semakin merosot di rantau ini dan skala serangan semakin meningkat baru-baru ini," kata suruhanjaya itu.

EHRC menyatakan siasatan mendapati tiada polis atau pasukan keselamatan yang ditugaskan di sekitar kawasan itu.

Pihaknya telah memantau dan menyiasat kejadian tersebut dengan mendapatkan maklumat daripada mangsa dan pihak berkepentingan yang berkaitan.

Kumpulan hak asasi itu juga mahu bantuan perubatan dan kemanusiaan segera diberikan kepada mangsa dan menuntut penyerang dibawa ke muka pengadilan.

Kejadian terbaharu itu berlaku sehari selepas Perdana Menteri Abiy Ahmed mengadakan perbincangan dengan pihak keselamatan, pentadbir wilayah zon Metekel dan penduduk untuk "menamatkan isu keselamatan yang sering melanda kawasan tersebut dan mencari jalan penyelesaian jangka panjang.”

Leave a Reply

%d bloggers like this: