Maklumat awal dia masih muslim – Ahmad Marzuk

MAKLUMAT awal mengenai seorang wanita yang berkahwin dengan Kapten hoki India, Manpreet Singh Pawar masih lagi menganut agama Islam.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Ahmad Marzuk Shaari berkata, sehingga kini pihak berkuasa tidak menerima sebarang permohonan daripada Illi Najwa Saddique untuk bernikah di luar negara.

“Berdasarkan maklumat awal yang diterima, wanita berkenaan masih seorang muslim dan setakat ini tiada permohonan diterima untuk menukar agama.

“Kita juga tidak pernah menerima sebarang permohonan wanita berkenaan untuk berkahwin di luar negara.

“Menerusi pembacaan saya di media sosial, wanita berkenaan masih Islam dan lelaki itu dikatakan sudah memeluk Islam akhir tahun lalu.

“Perkara ini akan terungkai sebaik kita mendapat penjelasan daripada wanita itu sendiri,” katanya kepada media selepas Majlis Pengagihan Bantuan Musim Tengkujuh kepada nelayan dan petani peringkat DUN Panchor, di Kota Bharu, hari ini.

Katanya, pihak berkuasa akan berurusan dengan Illi Najwa sekembalinya dia ke Malaysia.

Menurutnya, setakat ini pihaknya masih menunggu maklumat rasmi daripada Jabatan Agama Islam Johor (Jaij) berhubung status agama wanita berkenaan.

Terdahulu, satu video majlis perkahwinan yang didakwa dilakukan mengikut upacara agama Sikh berlangsung di India itu juga turut tular di media sosial.

Status agama wanita Melayu itu dipersoalkan selepas video itu memaparkan dia kelihatan melakukan upacara agama Sikh.

Pasangan itu sudah menjalinkan hubungan cinta sejak lapan tahun lalu dan dilaporkan telah melangsungkan perkahwinan 16 Disember lepas.

Manpreet kali pertama bertemu Illi Najwa yang menyaksikan perlawanan ketika dia mengetuai pasukan remaja India pada saingan Piala Sultan Johor 2012.

Difahamkan mereka kerap berhubung apabila Manpreet kembali mengetuai pasukan kebangsaan India pada Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh.

Manpreet dilahirkan pada 26 Jun 1992 dilantik sebagai kapten India sejak Mei 2017.

Manakalan Illi Najwa bekerja di sebuah universiti swasta di Malaysia dengan bertugas mengawal perancangan, pengembangan perniagaan dan aktiviti pengambilan pelajar di pasaran Asia Selatan.

Majlis resepsi perkahwinan diadakan di kampung halaman Manpreet di Mithapur dekat Jalandhar, Punjab.

Manpreet, 28, mengenakan sut perkahwinan punjabi yang lengkap dengan serban, sementara Illi Najwa kelihatan menawan dengan pakaian pengantin punjabi ketika mereka bertukar ikrar perkahwinan.

Majlis yang ringkas dan meriah itu dihadiri keluarga, saudara mara, pemain pasukan kebangsaan, pengurusan dan tetamu jemputan.

Pasangan itu dijadualkan berkahwin pada April lalu, dengan resepsi majlis di Ludhiana, namun terpaksa ditangguhkan kerana penularan Covid-19. SM

Leave a Reply

%d bloggers like this: