Abdul Rashid Presiden baharu FAP

19/12/2020 09:59 PM

GEORGE TOWN, 19 Dis — Bekas Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) Datuk Abdul Rashid Ismail, dipilih sebagai Presiden FAP yang baharu berkuat kuasa hari ini.

Abdul Rashid, 77, yang berpengalaman dalam pengurusan bola sepak Pulau Pinang selama 50 tahun itu menggantikan penyandang terdahulu, Dr Amar Pritpal Abdullah yang kini menyandang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Penang FC (PFC).

Dalam pemilihan yang diadakan semasa Mesyuarat Agung Tahunan 2020 FAP, Abdul Rashid yang dicabar bekas Setiausaha Kehormat FAP Dastagir Mohd Yassin, menang dengan kelebihan enam undi daripada 33 undi.

Sementara Mohd Azizudin Mohd Shariff dipilih sebagai timbalan presiden selepas menang tanpa bertanding, sementara untuk jawatan naib presiden, Kathiresan Letchumanam dan Faizul Abdul Rashid juga menang tanpa bertanding.

Turut dipilih dalam pemilihan hari ini ialah enam wakil bebas iaitu Eric Lee Tuck Meng, Mohamed Shahnizam Mokhtar, Ahmad Fauzi Ibrahim, Noor Shukri Hashim, Mahathir Jamal Mohd dan Muhammad Tarmizy Mohd Ibrahim.

"Pemilihan ini adalah untuk tempoh 2020 hingga 2022 dan fokus utama kita sekarang ialah untuk bangunkan kembali bola sepak belia," katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas mesyuarat agung berkenaan di sini hari ini.

Menurut Abdul Rashid, terdapat beberapa perancangan yang telah diatur antaranya mewujudkan semula liga-liga tempatan dengan fokus utama adalah ingin memberi laluan kepada penglibatan golongan belia dalam usaha memantapkan lagi jentera bola sepak belia Pulau Pinang.

"Dari segi kewangan kita akan cari, pada masa sama kita akan cuba selesaikan segala hutang yang ada (dalam persatuan)," katanya.

Beliau menambah, perlawanan melibatkan liga-liga tempatan musim hadapan akan berlangsung di Stadium Bandaraya Pulau Pinang dekat sini.

Leave a Reply

%d bloggers like this: