Warga emas rugi RM107,000 ditipu sindiket penipuan menerusi Facebook

19/12/2020 02:35 AM

JOHOR BAHRU, 18 Dis — Seorang warga emas kerugian RM107,000 akibat diperdaya anggota sindiket penipuan yang menyamar sebagai pegawai tentera dari negara asing yang ingin memberikan hasil barang rampasan kepada mangsa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Johor ACP Mohd Salleh Abdullah berkata lelaki berusia 61 tahun itu dipercayai berkenalan dengan individu yang menyamar di laman sosial Facebook sebagai “Laura Anderson” berpangkat kapten tentera laut yang mendakwa dirinya bertugas di Iraq di bawah panji sebuah pertubuhan antarabangsa.

Katanya pegawai tentera berkenaan telah memperdayakan mangsa kononnya telah mendapat hasil rampasan pemberontak seperti wang, emas dan berlian serta berjanji akan menghantar kesemua hasil rampasan kepada mangsa.

Mangsa kemudiannya telah dihubungi oleh seorang wanita tempatan yang kononnya bertindak sebagai ejen dan memberitahu mangsa perlu membuat bayaran bagi tujuan wang perkhidmatan penghantaran barang, ‘money laundry certificate’ dan bayaran tafsiran kemasukan emas dan berlian untuk dihantar kepada mangsa.

Mangsa yang tidak membuat sebarang semakan dan tidak memaklumkan kepada kenalan terdekat kemudiannya telah membuat sebanyak sembilan transaksi pembayaran dengan jumlah keseluruhan RM107,000 dan hanya menyedari dirinya ditipu apabila tidak dapat berhubung dengan suspek selain telah disekat di laman sosial berkenaan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata mangsa kemudiannya membuat laporan polis di Balai Polis Kluang semalam dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Polis Johor menasihatkan orang ramai supaya lebih peka dengan teknik perdayaan yang digunakan penjenayah siber masa kini.

Jangan mudah mempercayai seseorang yang baru kita kenali dan buat semakan terperinci dengan pihak berkuasa apabila melibatkan transaksi kewangan untuk mengelakkan diri ditipu," katanya.

Leave a Reply

%d bloggers like this: