Dua beranak antara tiga individu ditahan polis bersama 572 kg daun ketum

18/12/2020 07:09 PM

ALOR SETAR, 18 Dis — Tiga lelaki termasuk dua beranak ditahan polis bersama 572 kilogram daun ketum dianggarkan bernilai RM5,000 dalam sebuah bas ekspres di Shahab Perdana di sini malam semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Ahmad Shukri Mat Akhir berkata bapa serta anaknya masing-masing berusia 51 dan 26 tahun bersama kenalan mereka berumur 33 tahun itu ditahan sepasukan polis selepas membuat pemeriksaan ke dalam bas itu pada 8.40 malam.

"Hasil pemeriksaan pihak polis di ruang tempat letak barang bahagian bawah bas polis menjumpai tujuh beg kanvas warna coklat, dua beg kanvas warna merah, satu beg kanvas warna hitam, satu beg kanvas warna hijau dan lapan beg plastik sampah warna hitam.

Pemeriksaan lanjut mendapati setiap beg mengandungi daun ketum yang telah diikat getah berjumlah keseluruhan 2,149 ikatan dengan anggaran berat 572 kilogram," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, di sini hari ini.

Ahmad Shukri berkata lelaki berumur 51 tahun itu merupakan pemandu bas berkenaan dan dia bersama anak lelakinya itu dipercayai terlibat dengan kegiatan penjualan daun ketum tersebut sejak Mac lepas ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Hasil soal siasat awal polis mendapati daun ketum yang dirampas dipercayai diperoleh dari Kuala Nerang untuk pasaran di negeri sebelah selatan. Sekiranya diproses, boleh membekalkan air ketum kepada hampir 10,000 orang," katanya.

Beliau berkata taktik menggunakan bas ekspres itu untuk membawa bekalan daun ketum berkenaan dipercayai modus operandi terbaharu mereka bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Katanya ketiga-tiga mereka ditahan reman selama empat hari bermula hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM10,000.

Leave a Reply

%d bloggers like this: