AZMEER JAWAB TUDUHAN TAK RELEVAN: “JANGAN BUAT KENYATAAN SEOLAH-OLAH KAMI BODOH SANGAT!”

Ketua Juri Separuh Akhir Muzik Muzik ke-35 (SFMM35), Azmeer tampil mempertahankan membidas dan mempertahankan keputusan yang telah dibuat, susulan kritikan penyanyi terkenal Datuk Hattan terhadap pemilihan 12 lagu yang layak ke pentas Anugerah Juara Lagu 35 (AJL 35).

Menurut Azmeer atau nama sebenarnya, Mohd Azhar Abu Bakar, kesemua juri yang terlibat mempunyai kepakaran dan pengalaman masing-masing dalam menilai sesebuah karya yang bertanding.

Malah Azmeer turut menolak kritikan ramai yang menuduh semua barisan juri sudah tidak relevan dengan industri muzik terkini apabila mengetepikan lagu-lagu komposer baharu yang dikatakan lebih segar.

"Janganlah orang luar buat kenyataan seolah-olah kami bodoh sangat. Tak salah nak bagi komen tapi… bukannya kami tak tahu muzik. Kami hanya jalankan tugas masing-masing, kami ada pengalaman luas dalam bidang muzik.

"Muzik ini adalah sesuatu yang sangat subjektif dan kami menilai berdasarkan kriteria yang ditetapkan. Semua barisan juri yang mengadili tidaklah terlalu tua malah semuanya terbuka dan tahu dengan pelbagai genre muzik semasa.

Klik untuk gambar besar

Image_2.jpg

"Saya bagi contoh walaupun tiada rapper dalam kalangan juri, tapi anda boleh tengok ada tiga lagu rap yang layak masuk ke AJL35. Daripada situ boleh tahu yang kami para juri memang sangat terbuka dengan semua genre dan kalau lagu itu layak, memang akan ada tempat untuk mereka di final," katanya.

Selain Azmeer, juri profesional yang mengadili SFMM35 terdiri daripada Fauzi Marzuki, Edrie Hashim, AG Coco, Ajai, Helen Yap dan Datuk Mokhzani Ismail.

Akui tidak dapat memuaskan hati semua pihak, Azmeer bagaimanapun berkata dia tetap menerima semua pandangan secara positif. Malah dia juga mendedahkan pernah menolak untuk menduduki kerusi panas itu, namun pihak stesen TV tetap mahukan khidmatnya atas beberapa sebab.

"Kalau nak tahu sebenarnya saya tak nak jadi ketua juri, tapi TV3 tetap mahukan saya menggalas tanggungjawab itu sebab mereka kata saya tegas daripada segi penjurian.

Image_3.jpg

"Saya hanya buat kerja sahaja, saya pun sama macam orang lain mencari rezeki," ujarnya yang kini sedang mengikuti pengajian di peringkat Ijazah Kedoktoran (PhD) Muzik di Universiti Utara Malaysia (UUM).

Sebelum ini, penyanyi Datuk Hattan meluahkan ketidakpuasan hati selepas lagu ‘Sakit’ nyanyian Yonnyboii dan ‘Sembah’ (Naim Danial) tidak tercalon sebagai finalis AJL35. Menurut penyanyi tersebut, barisan juri sepatutnya perlu membuka minda untuk menerima sesebuah karya yang lebih baharu dan segar.

AJL35 menyaksikan lagu ‘Aku Bidadari Syurgamu’ nyanyian Aishah, ‘Semalam’ (Aina Abdul), ‘Kau Sakiti’ (Amir Masdi), ‘Hutang’ (Floor 88), ‘7 Nasihat’ (Shiha Zikir, Kmy Kmo, Luca Sickta), ‘Eh’ (Zizi Kirana) dan ‘Gundah’ (Ernie Zakri) bakal berentap.

Turut layak ialah lagu ‘Gila’ (Kaka Azraff, Loca B, Noki), ‘Jangan Khianati Aku’ (Azlan & The Typewriter), ‘Belenggu Rindu’ (Datuk Jamal Abdillah dan Wany Hasrita), ‘Hati’ (Hael Husaini) dan ‘Peluang Kedua’ (Hael Husaini). AJL35 bakal berlangsung pada 7 Februari depan di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Image_4.jpg

Image_5.jpg

Leave a Reply

%d bloggers like this: