ASEAN perlu lakukan transformasi untuk realisasi ekonomi digital

15/12/2020 07:54 PM

Oleh Mohd Shukri Ishak

JAKARTA, 15 Dis — Potensi ekonomi digital ASEAN, yang dianggarkan mencecah US$200 bilion pada 2025, hanya dapat dipenuhi jika ASEAN dapat melakukan transformasi digital.

Bagaimanapun, dunia, termasuk negara-negara ASEAN, telah berhadapan krisis ekonomi yang dahsyat akibat pandemik COVID-19.

Lebih 30 juta penduduk di ASEAN berisiko kehilangan pekerjaan, dan semua keputusan perniagaan dan ekonomi perlu diteliti semula.

Di Indonesia, dengan berbagai tahap sekatan pergerakan sosial berskala besar, pengguna beralih ke Internet sebagai jalan keluar terhadap cabaran dan perubahan mendadak ini.

Menurut Google, Temasek, dan Bain & Company dalam laporan tahunan ‘e-Conomy SEA 2020’ baru-baru ini, ekonomi digital Indonesia akan berkembang 11 peratus kepada US$44 bilion pada 2020 berbanding US$40 bilion tahun lalu, menunjukkan ketahanannya di tengah-tengah wabak yang mencetuskan huru-hara kepada perkhidmatan pengangkutan, makanan, dan perkhidmatan perjalanan.

Pandemik ini mendorong kadar penembusan internet di rantau ini, dianggarkan tahun ini mencetuskana 40 juta pengguna baharu.

Menurut laporan tersebut, secara keseluruhan terdapat sekitar 400 juta pengguna internet di rantau ASEAN – iaitu 70 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk.

Kewujudan sekatan sosial membentuk budaya baharu, seperti aktiviti bekerja atau sekolah dari rumah, yang menyebabkan peningkatan drastik dalam penggunaan perkhidmatan digital.

Dari sudut positif, lebih banyak pelanggan baharu menggunakan perkhidmatan dalam talian tanpa henti, dan teknologi kesihatan dan pendidikan muncul sebagai barisan hadapan baharu bagi ekonomi digital negara.

Tingkah laku seperti itu dicerminkan dalam e-dagang dan media, yang mengatasi kemerosotan dalam sektor pengangkutan, makanan, dan perjalanan.

Satu perkara yang menarik perhatian ialah 56 peratus pengguna perkhidmatan digital Indonesia tahun ini datang dari luar bandar, manakala 44 peratus lagi dari sekitar kawasan bandar.

Dikatakan bahawa perkembangan digital pada masa ini masih "berpusat di Jakarta", dan ini tidak dapat dinafikan berikutan wujudnya jurang ketara antara kawasan bandar dan luar bandar dari segi akses infrastruktur.

Ia turut berlaku di negara rantau ASEAN yang lain.

Presiden Indonesia Joko Widodo (Jokowi), pada Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan ASEAN 2020 yang bertema "Digital ASEAN: Sustainable and Inclusive" di Hanoi, Vietnam November lalu, menganggap jurang digital sebagai isu terbesar ASEAN.

Bagi mengatasinya, Jokowi menyebut tiga perkara utama yang harus digalakkan dalam penggunaan teknologi digital di ASEAN, antaranya memastikan revolusi digital menyeluruh.

Presiden menekankan bahawa akses, kemampuan, dan keupayaan adalah tiga kunci utama untuk pendemokrasian digital. Oleh itu, ia memerlukan penyediaan teliti aspek infrastruktur digital dan kapasiti sumber daya manusia ASEAN.

Kedua, ASEAN perlu menjadi pemain utama dalam ekonomi berasaskan digital dan bukan hanya sebagai pembeli.

Presiden Indonesia menyatakan ekonomi digital perlu berupaya membantu Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) memasuki rantaian bekalan global kerana PMKS yang mewakili 89-99 peratus ekonomi ASEAN, adalah tulang belakang ekonomi rantau ini.

Mempercepat transformasi digital PMKS akan mendorong kebangkitan semula ekonomi wilayah.

Aspek ketiga ialah memperkukuhkan kerjasama untuk mewujudkan ekosistem digital yang kondusif.

Presiden menggalakkan pengukuhan kerjasama serantau untuk menghapuskan jurang perdagangan digital, membangun jaminan undang-undang, menciptakan sinergi dalam peraturan perdagangan digital, dan kerjasama antara kerajaan dan sektor swasta untuk menghubungkan wilayah.

Leave a Reply

%d bloggers like this: