Polis bongkar aktiviti loteri haram berselindung di sebalik kedai telefon, komputer


PDRM

13/12/2020 10:20 PM

SUBANG JAYA, 13 Dis — Polis membongkar kegiatan loteri haram yang berselindung di tapak sewa dalam kedai telefon bimbit dan elektronik selepas menahan sembilan individu termasuk tujuh warga asing dalam operasi di empat premis di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Abd Khalid Othman berkata daripada tujuh warga asing itu, tiga adalah wanita warga Indonesia pekerja pusat loteri haram berkenaan, manakala tiga lelaki warga Bangladesh dan seorang lelaki Myanmar yang ditahan merupakan pelanggan.

Beliau berkata kesemua enam lelaki dan tiga wanita berumur antara 20 dan 47 tahun itu direman selama empat hari, dan kes disiasat di bawah Seksyen 4A(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM200,000 atau lima tahun penjara jika disabit kesalahan.

"Bagi mengelak dikesan pihak berkuasa, mereka menggunakan taktik berpindah dari satu kedai ke kedai lain yang disewa dalam tempoh dua hingga tiga bulan. Kedai yang selalu digunakan adalah kedai telefon bimbit dan elektronik.

“Serbuan dilakukan kira-kira 4.30 petang hari ini ke atas tiga premis di dalam kedai telefon bimbit di Subang Perdana Court 10, USJ 3 serta sebuah kedai komputer riba di Pangsapuri Angsana Taman Subang Mewah,” katanya pada sidang media selepas tamat operasi tersebut di Subang Perdana Court 10 di sini hari ini.

“Polis turut merampas wang tunai sebanyak RM1,759, masing-masing empat unit mesin pencetak dan telefon bimbit serta 41 kertas nombor loteri awam haram,” katanya.

Leave a Reply

%d bloggers like this: