Perigi Tujuh Serendah akan diangkat sebagai Tapak Warisan Kebangsaan – Nancy Shukri

13/12/2020 10:21 PM

KUALA LUMPUR, 13 Dis — Perigi Tujuh Serendah di Hulu Selangor diletakkan dalam senarai inventori Jabatan Warisan Negara untuk diangkat statusnya sebagai Tapak Warisan Kebangsaan, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Kebudayaan Datuk Seri Nancy Shukri.

Beliau berkata perigi itu antara 11 butiran di daerah Hulu Selangor/Negeri Selangor yang berada dalam senarai inventori jabatan itu di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645) bagi tujuan penyelidikan sebelum diwartakan.

“Sekiranya memenuhi kriteria, tapak ini boleh dicadangkan untuk diangkat statusnya menjadi warisan kebangsaan. Pewartaan ini boleh memberi nilai tambah kepada tarikan sektor pelancongan selain untuk memelihara dan melindungi khazanah warisan yang terdapat di tapak perigi tujuh itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu beliau mengkuti Siri Jelajah Semarak Pelancongan Domestik di Hulu Selangor dan Bukit Fraser, Pahang hari ini, dengan disertai Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Dr Noor Zari Hamat.

Nancy berkata kementeriannya akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) Hulu Selangor bagi memastikan tempat-tempat menarik di kawasan itu diketengahkan sebagai produk pelancongan negara.

“Meskipun Perigi Tujuh Serendah di bawah seliaan dan penyelenggaraan Jabatan Pengairan Saliran daerah Hulu Selangor, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dari semasa ke semasa akan berbincang bagi tujuan penambahbaikan yang boleh dilakukan di kawasan itu,” katanya.

Mengenai Bukit Fraser, Nancy mencadangkan agar sebarang pembangunan kawasan percutian itu mengekalkan tema atau konsep tudor sesuai dengan jolokannya sebagai ‘The Little England.’

Nancy berkata bukit itu perlu dibangunkan sebagai destinasi warisan tinggalan kebudayaan tarikan pelancongan dan segala cadangan pembangunan hotel baharu adalah di bawah bidang kuasa Majlis Daerah Raub sebagai PBT.

“MOTAC juga menggesa agar sebarang pembangunan tidak mengganggu ekosistem di kawasan itu yang terkenal dengan kehadiran pelbagai spesies burung dan destinasi tempat memerhati burung,” katanya.

Nancy berkata pada masa ini Bukit Fraser hanya mempunyai tiga hotel dengan jumlah bilik 370 buah sahaja dan jumlah itu tidak mencukupi bagi menampung permintaan, terutamanya pada hujung minggu dan musim cuti umum.

“Premis penginapan baharu boleh menarik minat pelancong atau pihak korporat untuk berkunjung dan mengadakan program di Bukit Fraser,” menurutnya.

Leave a Reply

%d bloggers like this: