SELAMAT JALANI PEMBEDAHAN – BOB LOKMAN SUDAH PULANG KE KELANTAN

Penulis lirik dan pelakon popular, Bob Lokman, 56, telah pun selamat menjalani pembedahan membetulkan degupan jantung iaitu ‘Cardiac Resynchronization Therapy & Defibrillator (CRTD) di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, Isnin lalu.

Selepas pembedahan selesai, Bob atau nama sebenarnya, Mohd Hakim Lokman dibenarkan keluar dari hospital itu Selasa lalu dan selamat tiba di kediamannya di Kubang Kerian, Kelantan kira-kira jam 6.30 petang semalam. Bob ketika dihubungi berkata, dia bersyukur kerana tidak mengalami masalah sepanjang perjalanan ke Kelantan.

"Lega kerana semuanya sudah selamat. Saya bertolak dari Kedah kira-kira jam 10 pagi dan tidak terburu-buru untuk sampai. Saya akan berehat seketika dan selepas ini akan mula menerima kehadiran tetamu termasuk Pengerusi Finas, Zakaria Abdul Hamid pada 14 Disember ini.

"Saya terkejut mendapat perhatian sebegini besar termasuk orang dari Kuala Lumpur. Perasaan saya agak gembira. Walaupun dalam keadaan sakit, kita akan jadi sihat apabila dikunjungi kawan-kawan," katanya kepada Harian Metro.

Bob berkata, dia perlu kembali semula ke HSB untuk rawatan susulan dua minggu lagi: "Rutin ini akan berlangsung mengikut skala yang sama. Apabila keadaan saya semakin okay, rawatan susulan akan dijarakkan oleh doktor. Sehinggalah enam tahun akan datang, akan berlaku satu lagi pembedahan untuk menukar bateri alat ini.

"Saya masih merasa kekok dengan adanya alat ini di bahagian dada. Dada saya membengkak dengan adanya alat ini. Ia bukan kerana sakit. Namun dalam tiga bulan lagi barulah ia akan okay," katanya.

Klik untuk gambar besar

Image_2.jpg

Kesan daripada pembedahan juga menyaksikan Bob tidak boleh mengubah posisi tidurnya: "Saya menjalani prosedur CRTD iaitu kaedah memasukkan wayar dalam bahagian kiri dan kanan jantung yang akan menyeragamkan kadar degupan jantung bagi mengembalikan ritma normal.

"Kaedah ini adalah untuk menstabilkan denyutan jantung saya. Dalam beberapa bulan ini saya tak boleh angkat tangan dan hanya boleh pakai baju berbutang. Buat masa ini saya kena berhenti dulu daripada aktiviti dakwah, memasak dan memandu selama tiga bulan," jelasnya.

Dalam masa sama, doktor menyarankan Bob agar kerap berjalan untuk mengekalkan kesihatannya: "Saya pun dah beli kasut yang sesuai untuk tujuan ini. Saya kena berjalan dalam keadaan perlahan kerana alat ini akan memperbaiki keadaan sedikit demi sedikit.

"Bulan depan ia akan diselaraskan menggunakan komputer," tuturnya yang turut dinasihatkan menurunkan berat badan daripada 125 kilogram (kg) kepada 85 kg.

Kos pembedahan Bob yang dianggarkan RM60,000 disumbangkan oleh badan bukan kerajaan (NGO), Muslim Care Malaysia: "Terima kasih kepada semua yang prihatian dan membantu melancarkan urusan ini. Memang sangat tak sangka masalah saya mendapat perhatian banyak pihak," katanya.

Leave a Reply

%d bloggers like this: