Penjawat awam wanita rugi RM23,000, diperdaya ‘pegawai LHDN’

10/12/2020 08:19 PM

KOTA BHARU, 10 Dis — Seorang penjawat awam wanita kerugian RM23,000 selepas ditipu seorang lelaki yang menyamar sebagai seorang pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Difahamkan, mangsa berusia 30-an itu menerima satu panggilan Isnin lalu dan diimaklumkan mempunyai tunggakan cukai sebanyak RM38,000 belum dibayar oleh syarikat mangsa yang kononnya didaftarkan di Kuantan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kelantan, Supt Ahmad Azizul Mohamed, berkata polis menerima laporan berkaitan kejadian itu Selasa lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah.

Beliau berkata mangsa yang menafikan memiliki perniagaan tersebut telah dihubungi oleh beberapa suspek lain yang menyamar sebagai pegawai polis yang menyatakan mangsa juga terbabit dengan siasatan kes dadah dan pengubahan wang haram.

Katanya, mangsa juga diminta untuk menyenaraikan kesemua akaun-akaun bank yang dimilikinya termasuk akaun Tabung Haji.

“Suspek kemudian mengarahkan mangsa memindahkan semua wang dalam akaun-akaun bank lain ke satu akaun bank milik mangsa yang dipilih suspek atas alasan memudahkan siasatan dijalankan bagi membersihkan nama mangsa daripada disenarai hitamkan.

Selepas itu mangsa telah menerima satu mesej daripada suspek mengandungi fail Android Package Kit (APK) satu aplikasi telefon pintar dan mangsa diarahkan memuat naik aplikasi itu serta memberi kebenaran akses telefon pintar mangsa kepada aplikasi tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, selain itu mangsa seterusnya telah mengisi maklumat terperinci akaun-akaun bank miliknya di dalam aplikasi tersebut termasuk kata laluan dan dalam masa yang sama, suspek meminta mangsa merahsiakan siasatan sulit yang dijalankan mereka serta memberi amaran untuk mangsa tidak membuat sebarang transaksi perbankan termasuk dalam talian dalam tempoh tiga hari.

“Mangsa yang kemudiannya merasa curiga telah membuat semakan baki akaun bank dan mendapati sebahagian besar wang simpanannya iaitu sebanyak RM23,000 telah hilang.

Beliau berkata kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan pesalah boleh dipenjara tidak kurang daripada satu hingga 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda.

Leave a Reply

%d bloggers like this: