KKM kesan lima lagi kluster baharu COVID-19


Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

10/12/2020 10:11 PM

KUALA LUMPUR, 10 Dis — Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan lima lagi kluster COVID-19 melibatkan tiga negeri iaitu satu di Selangor dan masing-masing dua di Kuala Lumpur dan Johor, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata di Selangor, ia melibatkan Kluster Tapak Bina Jalan Bukit yang dikesan di daerah Hulu Langat dengan kes indeks (kes ke-67,596) membabitkan pekerja di sebuah tapak binaan yang dilaporkan positif COVID-19 pada 2 Dis, hasil saringan individu bergejala.

“Berikutan kes positif tersebut, pihak syarikat menjalankan saringan bersasar di tempat kerja dan mendapati 46 lagi kes dikesan positif. Sehingga kini, sejumlah 109 individu disaring,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata Kluster Tapak Bina Condong dikesan di Lembah Pantai, Titiwangsa dan Cheras di Kuala Lumpur.

Jelasnya, kes dalam kluster itu dilaporkan positif pada 6 Dis melalui saringan tempat kerja di sebuah tapak binaan dan sehingga kini, sejumlah 291 individu disaring membabitkan 24 kes positif.

Kluster kedua di Kuala Lumpur ialah Kluster Tapak Bina Jalan Stadium melibatkan kawasan Titiwangsa dan Lembah Pantai.

Beliau berkata kes positif kluster itu dikesan bermula 4 Dis lepas hasil saringan bersasar di tempat kerja melibatkan sebuah tapak binaan dan sehingga hari ini, sejumlah 97 individu disaring dengan 15 kes positif direkodkan.

Di Johor, KKM mengesan Kluster Jalan Dalam melibatkan daerah Kulai dan Batu Pahat dengan kes indeks (kes ke-74,278) dilaporkan positif pada 7 Dis melalui saringan individu bergejala dan sehingga kini, sejumlah 108 individu disaring dengan 13 kes dikesan positif.

“Sementara itu, Kluster Tenun Merah juga melibatkan daerah Batu Pahat dengan kes indeks (kes ke-74,273) dilaporkan positif COVID-19 pada 7 Dis melalui saringan individu bergejala dan sehingga hari ini, seramai 287 individu disaring dengan 23 kes dikesan positif,” katanya.

Beliau berkata pertambahan kluster baharu itu menjadikan jumlah keseluruhan kluster yang dikesan di negara ini adalah 401 manakala kluster aktif yang dipantau adalah sebanyak 187.

Dalam pada itu, tiga kluster diisytihar tamat hari ini melibatkan Kluster Merbok di Selangor serta Kluster Lintas dan Kluster Telipok masing-masing di Sabah.

Leave a Reply

%d bloggers like this: