Bekas AMK Ampang beri kenyataan yang benar kepada SPRM – Peguam


Datuk Adam Rosly Abdullah

09/12/2020 09:38 PM

PUTRAJAYA, 9 Dis — Mahkamah Rayuan hari ini dimaklumkan bahawa bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Ampang Datuk Adam Rosly Abdullah telah memberikan kenyataan yang benar kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semasa siasatan pada 2017.

Peguam Muhammad Fadhli Mat Sutris, yang mewakili Adam Rosly, berkata oleh itu mahkamah perlu melepas dan membebaskan anak guamnya daripada pertuduhan memberi kenyataan serta mengemukakan dokumen palsu kepada SPRM.

“Pendakwaan gagal membuktikan kenyataan yang telah diberikan itu adalah satu keterangan palsu. Sebaliknya kenyataan itu adalah keterangan yang benar,” katanya ketika berhujah pada prosiding rayuan di hadapan panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Yaacob Md Sam, Datuk P. Ravinthran dan Datuk Wira Ahmad Nasfy Yasin.

Adam Rosly, 33, telah mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 26 Nov tahun lepas mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen pada 26 April, 2018 yang menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan denda RM30,000 ke atasnya bagi enam kesalahan memberikan kenyataan palsu serta mengemukakan dokumen palsu kepada SPRM.

Pada prosiding hari ini, Muhammad Fadhli berhujah pendakwaan gagal membuktikan bahawa keterangan anak guamnya berhubung pembelian banglo adalah palsu malah bukti yang ada menunjukkan keterangan itu adalah benar.

“Perayu tidak langsung mempunyai niat untuk memperdayakan pihak SPRM,” katanya.

Beliau juga berkata Pesuruhjaya Kehakiman telah terkhilaf dan tersalah apabila gagal menilai pembelaan anak guamnya dan menyatakan bahawa ia adalah penafian semata-mata.

Adam Rosly didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen memberikan kenyataan palsu dan mengemukakan dokumen palsu kepada SPRM semasa siasatan pada 2017 berhubung dakwaan berkaitan kekayaannya yang luar biasa.

Dia didakwa memberi kenyataan palsu ketika percakapannya dirakamkan dua pegawai penyiasat SPRM mengikut Seksyen 32(8)(c) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Kenyataan itu adalah berkaitan kerjayanya sebagai ahli perniagaan, pendapatan, kenderaan mewah, banglo bernilai RM1.2 juta di Kampung Melayu, Ampang yang dibeli secara tunai, pinjaman RM200,000 daripada ibu mertua dan neneknya serta pinjaman wang daripada ‘along’ sebanyak RM500,000.

Dia juga didakwa menggunakan dokumen perjanjian palsu daripada dua individu dan dua baucar tunai daripada syarikatnya, Gegas Mentari Holding Sdn Bhd, dengan niat untuk memperdaya pegawai penyiasat SPRM mengikut Seksyen 89 akta yang sama.

Adam Rosly didakwa melakukan kesalahan itu di Ibu Pejabat SPRM di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya antara 9 pagi hingga 12.15 tengah hari 10 Feb 2017 dan antara 9 pagi hingga 2 petang 22 Feb tahun yang sama.

Mahkamah Rayuan menetapkan 1 Mac tahun depan untuk mendengar hujah Timbalan Pendakwa Raya Wong Poi Yoke.

Leave a Reply

%d bloggers like this: