Usaha persekitaran sihat ASEAN diiktiraf RWI

08/12/2020 06:46 PM

KUALA LUMPUR, 8 Dis — Institut Hak Asasi Manusia dan Undang-Undang Kemanusiaan Raoul Wallenberg (RWI) melancarkan laporan hasil kajian selama setahun yang mengiktiraf pendirian dan kemajuan ASEAN dalam mencapai persekitaran yang sihat.

Menurut kenyataan dikeluarkan Swedish Institute, kajian berjudul ”Prosperous and green in the Anthropocene: The human right to a healthy environment in Southeast Asia” (2020) dilancarkan di Bangkok, Thailand, pada Rabu (2 Dis).

Laporan itu dikeluarkan pada masa sangat penting ketika piawaian persekitaran harus diperkuat untuk mengatasi punca COVID-19 dan keadaan yang memburukkan lagi penyebarannya.

Kajian ini dihasilkan oleh 13 penyelidik undang-undang dan dasar Asia Tenggara, berdasarkan tinjauan dan analisis undang-undang, polisi, dan undang-undang negara ASEAN. Ia menganalisis sejauh mana hak untuk persekitaran yang sihat diterima di 10 negara ASEAN.

Pengarang utama laporan dan peguam awam antarabangsa RWI, Claudia Ituarte-Lima, berkata penerbitan itu adalah rujukan yang berharga untuk mereka yang ingin memahami landskap hak-hak persekitaran ASEAN.

“Persaingan semasa untuk berhadapan cabaran COVID-19 dunia memerlukan perubahan yang mendalam dan sistematik bagi menjadikan persekitaran sihat satu realiti kepada semua,” kata ltuarte-Lima.

Beliau berkata mengenal pasti hak untuk persekitaran yang sihat amat perlu dan memastikan tiada yang ketinggalan.

“Laporan Prosperous and Green menyoroti beberapa negara di Asia Tenggara yang telah mengambil langkah penting dalam mengenali hak persekitaran yang sihat,” katanya.

Laporan tersebut menunjukkan bagaimana pemerintah dan sistem kehakiman di rantau ASEAN mengakui hak persekitaran sihat dalam undang-undang, dasar-dasar dan keputusan mahkamah serta mencadangkan pilihan untuk memperkukuh pelaksanaannya.

Ia turut menunjukkan empat daripada 10 negara anggota mengiktiraf hak persekitaran yang sihat dan meminda perlembagaan masing-masing. Hak persekitaran sihat juga termaktub dalam deklarasi ASEAN mengenai Hak Asasi Manusia.

Leave a Reply

%d bloggers like this: