PAS akan bincang penglibatan dalam pembentukan kerajaan baharu Perak

06/12/2020 06:41 PM

KUALA NERUS, 6 Dis — Pucuk pimpinan PAS akan membincangkan isu pembentukan kerajaan baharu negeri Perak bagi menentukan sama ada parti itu akan terlibat atau sebaliknya, kata Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

“Kita akan bincang,” katanya ringkas kepada pemberita ketika ditanya mengenai pendirian PAS berhubung penubuhan kerajaan baharu Perak.

Menteri Alam Sekitar dan Air itu ditemui selepas melawat kawasan hakisan pantai di Pantai Pengkalan Maras, di sini hari ini.

Sebelum ini, Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan dilapor berkata parti itu tidak akan menyertai usaha pembentukan kerajaan negeri Perak yang baharu selepas Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu gagal memperoleh sokongan majoriti ahli Dewan Undangan Negeri menerusi satu usul pada Jumaat.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim berkata beliau yakin UMNO akan terus mempertahankan gagasan Muafakat Nasional (MN) yang dibentuk kedua-dua parti berkenaan di sebalik kemelut politik di Perak.

“Saya dengar kenyataan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan seboleh mungkin beliau mengatakan akan menjaga dan mempertahankan MN,” katanya.

Beliau ditanya mengenai kenyataan Ahmad Zahid hari ini yang tidak menolak kemungkinan UMNO dan Barisan Nasional akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan termasuk DAP, bagi menubuhkan kerajaan baharu di Perak.

Leave a Reply

%d bloggers like this: