Parlimen: Proses penyerahan SESB kepada Sabah dijangka ambil masa lima tahun – KeTSA

07/12/2020 12:29 PM

KUALA LUMPUR, 7 Dis — Proses penyerahan syarikat utiliti Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) oleh kerajaan persekutuan kepada kerajaan negeri Sabah dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya lima tahun, kata Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli Ali Biju.

Beliau menegaskan kerajaan komited untuk meneruskan penyerahan kuasa tersebut, namun perkara itu hanya akan dilaksanakan setelah semua isu dasar, ekonomi, teknikal dan operasi serta rangka kerja perundangan dimuktamadkan.

“Proses rundingan akan dimulakan setelah mendapat hala tuju terkini mengenai penyerahan itu daripada pentadbiran kerajaan negeri dengan penubuhan jawatankuasa pemandu dan jawatankuasa teknikal.

“Proses penyerahan ini dijangka mengambil masa yang panjang kerana melibatkan aspek-aspek perundangan, kewangan dan teknikal kepada kerajaan persekutuan dan juga kerajaan negeri Sabah,” katanya menjawab soalan Yeo Bee Yin (PH-Bakri) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Ali berkata dari segi perundangan, beberapa tindakan perlu dilaksanakan sebelum pemberian kuasa perundangan berhubung pembekalan elektrik kepada kerajaan negeri Sabah dapat dilaksanakan melalui pewartaan perintah di bawah Perkara 95C Perlembagaan Persekutuan.

Ini termasuk pindaan kepada Akta Tenaga Boleh Baharu 2011 dan Akta Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari 2011 oleh kerajaan persekutuan, penggubalan undang-undang negeri berhubung bekalan elektrik Sabah dan penggantungan pemakaian akta-akta persekutuan berkaitan bekalan elektrik di Sabah.

Beliau berkata dari segi kewangan pula, beberapa perkara perlu diberi perhatian terutama mengenai kemampanan SESB dalam menyediakan bekalan elektrik yang berdaya harap kepada rakyat Sabah memandangkan kerajaan negeri perlu mengambil alih tanggungjawab itu.

“Sebagai contoh, pada masa ini kerajaan persekutuan menyediakan peruntukan subsidi tahunan kepada SESB sekitar RM700 juta setahun. Tanggungjawab ini perlu diambil alih oleh kerajaan negeri apabila kuasa perbekalan elektrik diserahkan kelak,” katanya.

Sementara pada aspek teknikal pula, beliau berkata kerajaan negeri perlu bersedia menerusi penubuhan badan kawal selia baharu untuk mengambil alih fungsi-fungsi pengawalseliaan industri bekalan elektrik di Sabah daripada Suruhanjaya Tenaga dan fungsi-fungsi Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) sebelum perintah di bawah Perkara 95C Perlembagaan Persekutuan diwartakan.

Berhubung soalan Yeo sama ada Laporan Jawatankuasa Perancangan dan Pelaksanaan Pembekalan Elektrik dan Tarif (JPPPET) untuk Semenanjung Malaysia dan Sabah akan diterbitkan kepada orang awam, Ali berkata kerajaan melalui Suruhanjaya Tenaga akan meneruskan amalan menerbitkan Pelan Pembangunan Penjanaan yang dipersetujui dalam mesyuarat JPPPET Semenanjung dan Sabah kepada orang awam selepas pelan itu diluluskan oleh jemaah menteri.

Leave a Reply

%d bloggers like this: