Parlimen: KPLB laksana pelbagai projek infra luar bandar di Sarawak dalam RMK11


Datuk Dr Abd Latiff Ahmad

07/12/2020 01:03 PM

KUALA LUMPUR, 7 Dis — Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) telah dan sedang melaksanakan pelbagai projek infrastruktur melibatkan bekalan air, elektrik dan jalan luar bandar di Sarawak di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).

Menteri berkenaan Datuk Dr Abd Latiff Ahmad berkata bagi projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB), kerajaan telah dan sedang melaksanakan 15 projek di kawasan luar bandar Sarawak.

“Daripada jumlah itu empat projek dalam proses pelantikan perunding, satu projek dalam proses reka bentuk, lima projek dalam pelaksanaan dan lima projek telah siap,” katanya menjawab soalan Datuk Wilson Ugak Anak Kumbong (GPS-Hulu Rajang) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu, mengenai status pelaksanaan Projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB), beliau berkata sebanyak 40 projek sedang dan akan dilaksanakan dengan kos keseluruhan sebanyak RM2.4 bilion.

Beliau berkata daripada 40 projek itu, 11 projek telah siap, 13 projek dalam peringkat pelaksanaan manakala 16 projek dalam peringkat reka bentuk.

Abd Latiff berkata sebanyak 64 projek pula telah dan sedang dilaksanakan di bawah Projek Jalan Luar Bandar (JALB).

Sebanyak 39 daripada projek itu sedang dalam peringkat pelantikan perunding dan reka bentuk, tiga projek sedang dalam peringkat perolehan, sembilan projek dalam pembinaan dan 13 projek telah siap sepenuhnya, katanya.

Leave a Reply

%d bloggers like this: