Parlimen: Isu pembekalan vaksin COVID-19 syarikat Pfizer tak jejas bekalan untuk Malaysia – Khairy


Khairy Jamaluddin Abu Bakar

07/12/2020 12:08 PM

KUALA LUMPUR, 7 Dis — Isu pembekalan dos vaksin COVID-19 yang dihadapi syarikat farmaseutikal Pfizer sebagaimana dakwaan media antarabangsa tidak akan menjejaskan pembekalan vaksin kepada negara ini yang dijangka diterima pada suku pertama tahun depan, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin.

Ini kerana kata beliau isu pembekalan vaksin hanya melibatkan pengeluaran pada tahun ini.

“Saya pun sedia maklum masalah bekalan itu, tetapi dalam laporan media sama masalah itu hanya terkesan untuk bekalan 2020, setahu saya ini tak beri kesan bekalan tahun depan iaitu bekalan untuk kerajaan Malaysia,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (PH-Lembah Pantai) mengenai sama ada isu pembekalan vaksin syarikat Pfizer seperti laporan Reuters akan memberi kesan terhadap pembekalan vaksin kepada Malaysia.

Khary berkata kerajaan juga telah mengambil pendekatan mengenal pasti portfolio vaksin daripada pelbagai syarikat bagi memastikan bekalan yang cukup untuk rakyat negara ini.

Mengulas mengenai kos tambahan yang mungkin terpaksa ditanggung selain peruntukan RM3 bilion, Khairy berkata setiap perjanjian dengan syarikat pengeluar vaksin akan mengambil kira kos seperti pengangkutan dan penyimpanan.

“Perjanjian dengan syarikat Pfizer contohnya, kos yang dibayar untuk setiap dos vaksin meliputi kos pengangkutan yang ditanggung oleh Pfizer sendiri,” katanya.

Terdahulu menjawab soalan asal, Khairy berkata hingga kini Malaysia telah menandatangani dua perjanjian yang memberi jaminan bekalan vaksin sebanyak 30% daripada jumlah populasi negara.

“Perjanjian pertama ialah bersama COVAX Facility melalui Optional Purchase Arrangement yang ditandatangani pada 23 Nov yang menjamin bekalan vaksin sebanyak 10 peratus populasi negara, manakala perjanjian kedua pula ialah perjanjian pembelian awal dengan syarikat farmaseutikal Pfizer yang dimeterai pada 24 Nov bagi mendapatkan bekalan vaksin sebanyak 20 peratus daripada populasi negara (12.8 juta dos),” katanya.

Beliau berkata kerajaan tidak akan berkompromi dalam soal keselamatan dan keberkesanan sesuatu vaksin dan keputusan akhir bagi penggunaan sesuatu vaksin di Malaysia hanya akan dibuat selepas melalui proses pendaftaran dan kelulusan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) di bawah Kementerian Kesihatan.

Malaysia meletakkan sasaran 70 peratus daripada keseluruhan populasi negara bagi pembentukan imuniti kelompok di bawah Pelan Imunisasi Kebangsaan untuk penyakit COVID-19, dan bagi mencapai baki sasaran 40 peratus lagi, Khairy berkata kerajaan dalam proses perbincangan dengan syarikat-syarikat farmaseutikal pembangun vaksin COVID-19 yang lain.

Leave a Reply

%d bloggers like this: