TMJ minta jangan sebar gambar, video kemalangan Muhammad Syafiq

KUALA LUMPUR – Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim meminta orang ramai supaya tidak menyebarkan gambar atau video berkaitan kemalangan yang menimpa penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) dan kebangsaan, Muhammad Syafiq Ahmad yang mengorbankan ahli keluarganya.

Baginda bertitah, ia adalah sebagai bagi menjaga sensitiviti dan perasaan Muhammad Syafiq sekeluarga.

“Saya ingin mengucapkan salam takziah kepada Syafiq Ahmad atas pemergian ahli keluarga beliau. Kami sentiasa bersama anda, Syafiq. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat. Al-Fatihah.

“Saya juga menyeru orang ramai supaya tidak menyebarkan gambar-gambar atau video berkaitan bagi menjaga sensitiviti dan perasaan Syafiq sekeluarga,” titah Baginda dalam Facebook HRH Crown Prince Of Johor sebentar tadi.

Terdahulu, media melaporkan Muhammad Syafiq terbabit dalam kemalangan yang mengorbankan anaknya dan dua lagi penumpang di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dekat Sungai Bakap, awal pagi tadi.

Kejadian berlaku apabila kenderaannya dipercayai terbabas dan melanggar pembahagi jalan dengan Muhammad Syafiq mengalami kecederaan ringan.

Kemalangan ngeri itu bagaimanapun mengorbankan bayi lelakinya berusia 22 hari dan dua wanita, Zainab Wahab, 45 tahun, difahamkan ibu mertuanya, dan Titik Sukamti, 30-an.

Muhammad Syafiq, 25 tahun, dan seorang lagi anak perempuannya, Aaira Nur Saffiyya, 2 tahun, cedera ringan namun isterinya, Nur Amalina Nur Ain, 25 tahun, dilaporkan cedera.

Leave a Reply

%d bloggers like this: