Tiada niat halang Ahli Parlimen Julau kembali ke Sarawak – James Masing


Tan Sri Dr James Jemut Masing

05/12/2020 10:12 PM

KUCHING, 5 Dis — Tiada niat jahat untuk menolak permohonan kemasukan Ahli Parlimen Julau Larry Sng ke negeri Sarawak seperti didakwa dalam Facebooknya malam tadi, menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) hari ini.

Pemangku pengerusinya Tan Sri Dr James Jemut Masing berkata permohonan Sng tidak lengkap seperti dinyatakan di halaman penolakan kerana tidak mengemukakan keputusan ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) dalam permohonan tersebut.

Dalam kenyataan di sini, katanya, Ahli Parlimen juga di bawah senarai perkhidmatan penting yang mengecualikan daripada kuarantin dengan syarat.

“JPBNS menguatkuasakan dan mewajibkan bagi mereka yang ingin memasuki Sarawak untuk memohon menerusi EnterSarawak dan Pengisytiharan E-Kesihatan untuk melindungi negeri ini semasa pandemik COVID-19.

“ Bagi Ahli Parlimen yang menghadiri persidangan Parlimen, prosedur operasi standard (SOP) khas untuk mengecualikan mereka daripada kuarantin telah dilaksanakan bagi membolehkan mereka berkhidmat kepada rakyat di kawasan pilihan raya masing-masing.

Masing berkata di bawah pengecualian perkhidmatan penting, Ahli Parlimen harus menjalani ujian RT-PCR COVID-19 dan mendapatkan keputusan negatif serta perlu melampirkan surat kerja rasmi dan pengenalan diri untuk melengkapkan proses permohonan.

“JPBNS telah menyiasat permohonan Sng dan mendapati permohonan beliau sebanyak lima kali dengan tiga daripadanya ditolak kerana dokumen tidak lengkap sementara pada waktu lain, sistem telah meluluskan permohonannya dengan syarat menjalani kuarantin dan bukan untuk pengecualian kerana tidak disertakan keputusan ujian RT-PCR,” katanya.

Katanya, Sng hanya melampir dan menyerahkan keputusan ujian RT-PCR serta melengkapkan dokumentasi yang diperlukan pada percubaan kelima.

Mengikut prosedur seperti dilakukan oleh rakan-rakannya, Masing berkata Sng memang diberikan kelulusan untuk masuk ke Sarawak dengan pengecualian daripada kuarantin.

Menurutnya, adalah penting untuk semua orang memeriksa permohonan dan melihat maklum balas oleh pentadbir berhubung status permohonan masing-masing.

Orang ramai boleh menghubungi hotline JPBNS atau laman Facebook Maklumat Bencana Sarawak untuk bertanya mengenai permohonan mereka.

Sng menerusi Facebooknya melahirkan rasa kecewa apabila tiga permohonan untuk kembali ke Sarawak selepas persidangan Parlimen ditolak oleh JPBNS.

Leave a Reply

%d bloggers like this: