Mangsa banjir di Perak, Pahang, Kelantan dan Terengganu catat penurunan [VIDEO]

05/12/2020 08:19 PM

KUALA LUMPUR, 5 Dis — Mangsa banjir di empat negeri yang terjejas akibat banjir mula mencatat penurunan apabila individu yang masih berada Pusat Pemindahan Sementara (PPS) cuma berbaki 27 orang di Perak, Pahang (64), Kelantan (109) dan Terengganu (437).

Di PERAK, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri melaporkan banjir termenung di Kampung Matang Tengah, Beriah dalam daerah Kerian menjadi punca mangsa masih berada di PPS di Sekolah Kebangsaan Changkat Lobak, Bagan Serai setakat 4 petang.

Di PAHANG, kesemua 64 mangsa daripada 22 keluarga ditempatkan di dua PPS di Raub setakat 4 petang berbanding 109 orang daripada 34 keluarga yang ditempatkan di lapan PPS pagi tadi.

Menurut aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), PPS di Masjid Jamek Kampung Kuala Semantan menempatkan 38 orang daripada 12 keluarga manakala seramai 26 orang daripada 10 keluarga ditempatkan di Dewan Serbaguna Kampung Pia.

Tinjauan Bernama di Raub mendapati banjir mula surut dengan sebahagian penduduk yang terjejas mula pulang ke rumah masing-masing.

Di KELANTAN, situasi banjir bertambah baik dengan hanya 109 mangsa daripada 22 keluarga berada di empat PPS berbanding 400 orang pagi tadi malah turut dijangka terus berkurangan berikutan cuaca baik sepanjang hari ini.

Mereka ditempatkan di PPS dalam dua jajahan iaitu masing-masing dua di Pasir Mas dan Pasir Puteh manakala banjir di Kota Bharu dan Tanah Merah pulih sepenuhnya.

Sementara itu, InfoBencana JKM melaporkan Pasir Mas menjadi daerah tertinggi mangsa banjir dengan 58 orang daripada 12 keluarga ditempatkan di dua PPS.

Menurut laman sesawang Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) http://publicinfobanjir.water.gov.my situasi setakat 4 petang menunjukkan air Sungai Golok di Rantau Panjang masih melepasi paras bahaya iaitu pada bacaan 9.63 meter (paras bahaya ialah pada bacaan 9 meter) dengan trend menaik.

Di TERENGGANU, berikutan penurunan jumlah mangsa, 35 daripada 48 PPS telah ditutup secara berperingkat sejak pagi tadi.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata penurunan ketara iaitu 437 mangsa direkodkan berbanding 1,621 orang daripada 416 keluarga pada 8 pagi.

“PPS paling banyak ditutup adalah di Setiu iaitu lapan diikuti Marang (enam), Dungun (enam), Besut (enam), Kuala Nerus (empat), Kuala Terengganu (tiga) dan Kemaman (dua).

Leave a Reply

%d bloggers like this: