Akaun Twitter BermanaTV digantung – MCMC

06/12/2020 01:05 PM

CYBERJAYA, 6 Dis — Twitter telah mengantung akaun ‘BermanaTV (@Bermanadotcon), menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

“Berkaitan perkara itu, MCMC telah mendapat kerjasama Twitter yang bertindak menggantung akaun BermanaTV (@Bermanadotcon) yang didapati melanggar Piawaian Komuniti yang ditetapkan oleh penyedia platform media sosial itu.

“MCMC menghargai tindakan yang diambil oleh Twitter berdasarkan aduan yang dimajukan oleh MCMC. Paparan-paparan di akaun tersebut sering mengelirukan masyarakat dengan berselindung di sebalik nama parodi yang seolah-olah dikaitkan dengan sebuah agensi berita nasional,” menurut MCMC dalam satu kenyataan hari ini.

Namun demikian MCMC menyatakan, langkah penggantungan atau pemadaman akaun tersebut adalah bersifat reaktif dan sementara kerana akaun-akaun seperti itu berkemungkinan boleh diwujudkan semula dan orang ramai perlu berwaspada agar tidak mudah terpengaruh.

Kenyataan itu menyatakan, orang ramai boleh memastikan kesahihan setiap maklumat dengan mengikuti saluran rasmi serta akaun media sosial yang mendapat lencana pengesahan biru atau kelabu daripada penyedia platform seperti Twitter, Facebook, Instagram, YouTube dan sebagainya.

Menurut kenyataan itu, lencana ini mengiktiraf bahawa sesuatu akaun media sosial berasal daripada organisasi serta individu yang telah disahkan.

“MCMC akan terus menasihati orang ramai supaya berhati-hati dengan kewujudan akaun-akaun palsu di media sosial yang berniat jahat.

“Akaun palsu sengaja diwujudkan untuk melindungi identiti sebenar bagi tujuan menipu, menimbulkan syak wasangka dan memecahbelahkan masyarakat,” menurut kenyataan itu lagi.

Leave a Reply

%d bloggers like this: