Tiga lelaki ditahan disyaki pecah pejabat


ACP Nik Ezanee Mohd Faisal

04/12/2020 01:40 AM

KUALA LUMPUR, 3 Dis — Tiga lelaki termasuk seorang warga asing ditahan dalam beberapa serbuan antara 11 malam semalam dan 5 pagi hari ini di sekitar Kota Damansara, Petaling Jaya, kerana disyaki terlibat dalam kegiatan pecah pejabat, kata Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Nik Ezanee Mohd Faisal.

Beliau berkata polis menahan suspek pertama yang berusia 27 tahun itu di sebuah flat di Seksyen 8, Kota Damansara dan merampas pelbagai barangan, dipercayai hasil kegiatan itu, selain peralatan yang digunakan.

“Seterusnya, polis menahan dua lagi suspek iaitu seorang warga tempatan berusia 30 tahun dan seorang warga asing berusia 44 tahun, dalam dua serbuan di kawasan Kota Damansara, dengan mereka dipercayai terlibat dalam urusan jual beli barangan curi tersebut.

“Penahanan ketiga-tiga suspek ini merupakan susulan satu kejadian pecah pejabat dalam sebuah bangunan di Kota Damansara pada 8 pagi, Selasa lalu, yang melibatkan kehilangan pelbagai barangan antaranya sebuah komputer riba, tiga telefon bimbit dan wang tunai sebanyak RM100,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nik Ezanee berkata siasatan awal mendapati kesemua suspek mengaku terlibat dengan empat lagi kes pecah pejabat dan ceroboh asrama di sekitar Kota Damansara selain suspek pertama mempunyai satu kes jenayah dan satu kes berkaitan dadah, manakala suspek kedua mempunyai satu kes jenayah.

“Kesemua suspek direman tujuh hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan, yang jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan penjara atau denda dan sebatan,” katanya.

Leave a Reply

%d bloggers like this: