Kerajaan cadang benarkan syarikat biaya klos penghantaran pendatang di depot


Datuk Seri Hamzah Zainudin

04/12/2020 01:04 AM

PUTRAJAYA, 3 Dis — Cadangan membenarkan syarikat-syarikat besar membiayai kos penghantaran pulang pendatang tanpa izin yang berada di depot tahanan imigresen (DTI) akan dibawa ke mesyuarat Kabinet dalam masa terdekat.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata sebagai timbal balas, syarikat itu akan diberikan kuota penggajian pekerja asing yang baharu selepas melalui tapisan ketat mengikut prosedur operasi standard (SOP) COVID-19.

Beliau berkata cadangan itu dipertimbangkan kerajaan bagi membantu pemain industri mendapatkan kuota penggajian pekerja asing dengan lebih pantas.

“Katakan ada 20,000 (pekerja asing) di dalam depot, hanya kira-kira 15 peratus yang tenaganya boleh digunakan, manakala yang lain ada masalah-masalah yang kita tak benarkan (mereka) bekerja semula, dan golongan ini perlu dihantar balik.

“Jika syarikat besar mahu mengambil mereka (pekerja asing) dengan lebih cepat, mereka boleh mengambil pekerja itu, hantar mereka kembali (ke negara asal) dan kita benarkan penggantian pekerja satu nisbah satu,” katanya selepas mengadakan mesyuarat bersama Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan mengenai pengurusan pekerja asing, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Hamzah berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan melaksanakan kajian semula dasar penggajian ekspatriat dengan kerjasama strategik TalentCorp dan Malaysian Digital Economy Corporation (MDEC).

Katanya kali terakhir kajian dibuat terhadap dasar itu ialah pada 20 Dis 2016, dan kini ia memerlukan penambahbaikan, dengan memastikan wujudnya keseimbangan dalam memenuhi keperluan sumber manusia yang mengutamakan tenaga kerja tempatan, terutamanya selepas pandemik COVID-19.

“Dulu kita ada ekspatriat peringkat satu, dua dan tiga. Kumpulan tiga contohnya bergaji RM3,000, saya rasa tidak adil untuk rakyat Malaysia memanggil mereka ekspatriat,” katanya.

Menurut Hamzah, mesyuarat juga bersetuju supaya penggajian pekerja asing bagi jawatan tukang emas dipertimbangkan semula di bawah Pas Lawatan Ikhtisas atau Professional Visit Pass (PVP) yang bertujuan melatih tukang emas tempatan.

“Perkhidmatan tukang emas warga asing ini tidak lagi diperlukan setelah jumlah tukang emas tempatan mencukupi untuk memenuhi keperluan industri,” katanya.

Leave a Reply

%d bloggers like this: