Banjir: Pesakit strok dan keluarga terperangkap hampir tujuh jam

04/12/2020 07:02 PM

PASIR PUTEH, 4 Dis — Seorang warga emas yang mengalami strok, mendakwa beliau dan keluarga terperangkap hampir tujuh jam dalam rumah selepas kawasan rumahnya dinaiki air paras pinggang akibat banjir yang naik secara mendadak petang semalam.

Samsudin Awang, 66, berkata, beliau tidak menyangka air naik begitu cepat akibat limpahan Sungai Wakaf Bunut selepas hujan lebat selama dua hari sebelum rumahnya dinaiki air pada 2.30 petang.

“Saya, isteri Rokiah Ab Ghani, 66, dan dua orang anak (berusia 24 dan 26 tahun) tidak dapat berbuat apa-apa sehingga diselamatkan anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) pada 8 malam,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pusat Penempatan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Kamil 3 di sini, hari ini.

Selepas diserang angin ahmar, Samsudin yang hanya mampu berjalan menggunakan tongkat berkata, keluarganya hanya sempat menyelamatkan sebuah peti sejuk ke tempat selamat.

“Peralatan rumah yang lain termasuk almari, sebuah lagi peti sejuk, katil, pakaian, televisyen dan tilam yang bernilai lebih RM5,000 dikhuatiri rosak,” katanya.

Isterinya, Rokiah berkata keadaan banjir kali ini berlaku luar biasa disebabkan air naik terlalu pantas menyebabkan beliau tidak sempat memapah suaminya menumpang di rumah jiran yang lebih selamat sementara menunggu pasukan penyelamat tiba.

Sementara itu, Pegawai Kebajikan Masyarakat Jajahan Pasir Puteh, W. Norhayati W. Husain berkata setakat ini, pihaknya mengagihkan 350 bungkus makanan kepada mangsa dan petugas di PPS sejak petang semalam.

Katanya, buat masa ini semuanya berjalan lancar mengikut perancangan awal termasuk pemasangan khemah, bekalan tilam dan kain selimut.

Sehingga petang, 200 penduduk yang terjejas banjir di Jajahan Pasir Puteh telah ditempatkan di enam PPS iaitu, Dewan Kompleks Kamil, Sekolah Kebangsaan Changgai, Sekolah Bukit Jawa 2, Sekolah Kebangsaan Kamil 3, Sekolah Kebangsaan Sungai Petai dan Sekolah Kebangsaan Wakaf Raja.

Leave a Reply

%d bloggers like this: