BAM, MJF terima anugerah penghargaan Kerajaan Jepun


Tan Sri Mohamad Norza Zakaria

03/12/2020 11:52 PM

KUALA LUMPUR, 3 Dis — Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan Persekutuan Judo Malaysia (MJF) adalah antara penerima anugerah tanda penghargaan daripada Kementerian Luar Jepun tahun ini.

Kedutaan Jepun di Malaysia mengesahkan bahawa dua individu dan tiga kumpulan di negara ini adalah antara 172 individu dan 65 kumpulan yang menerima anugerah tersebut. Jumlah tersebut melibatkan 20 individu dan 11 kumpulan tinggal di Jepun manakala 152 individu dan 54 kumpulan tinggal di luar negara.

Kursus Bahasa dan Linguistik Jepun, Fakulti Bahasa dan Linguistik Universiti Malaya (UM) (kumpulan): Ketua Guru Jepun, Program Persediaan Khas untuk masuk ke universiti di Jepun di UM, Mizuno Toshio dan Presiden Persatuan Persahabatan Fukiage-Malaysia, Shimozono Seiko, adalah antara penerima anguerah tersebut.

Menurut kenyataan pengumuman dalam laman sesawang kedutaan itu, www.my.emb-japan.go.jp, para penerima dipilih daripada pelbagai latar belakang berdasarkan sumbangan cemerlang mereka dalam mempromosikan persahabatan, pertukaran dan memupuk persefahaman antara Jepun dan Malaysia.

Menurut kedutaan tersebut, tarikh dan venue majlis penyampaian anugerah tersebut akan diumumkan dalam masa terdekat.

Kenyataan itu memaklumkan BAM, yang dtubuhkan pada 1934, mempunyai pencapaian luar biasa dalam mempromosikan persefahaman menerusi sukan antara Jepun dan Malaysia.

“Pemain pasukan kebangsaan Jepun mengharumkan nama negara dengan mencapai kejayaan besar dalam dunia badminton dengan bimbingan jurulatih dari Malaysia, Selain itu, BAM menyertai kem latihan dihoskan oleh Jepun dengan tujuan menghantar pasukan Malaysia ke Sukan Olimpik 2020 tahun depan serta bertukar pandangan dengan pemain Jepun.

Selain itu, MJF yang ditubuhkan pada 1961, turut memainkan peranan penting dalam memperkenal, mempopularkan dan mempromosikan sukan judo di Malaysia. MJF bukan sahaja secara aktif menganjurkan pertandingan antarabangsa tetapi turut mempromosikan sukan itu dalam pasukan Angkatan Tentera Malaysia, polis dan institusi lain.

“MJF menghantar dua peserta ke Sukan Olimpik Tokyo pada 1964. Menerusi usaha ini, populasi peserta judo di Malaysia telah meningkat dengan pesat,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, ketika dihubungi, berkata mereka berasa terhormat dan rendah diri untuk menerima pengiktirafan daripada kerajaan negara itu.

“Ini adalah bukti hubungan erat dan mesra antara kedua-dua negara. Dalam bidang badminton, kami telah menghantar pemain dan jurulatih ke Jepun khususnya ke wilayah Ehime. Jepun kini adalah kuasa besar dalam sukan badminton dan kami akan terus bekerjasama terutama dalam menjayakan Sukan Olimpik Tokyo,” katanya.

Leave a Reply

%d bloggers like this: