Konflik kepentingan, mahkamah Thailand putuskan Prayuth “tidak bersalah”


General Prayuth Chan o-cha

02/12/2020 10:14 PM

Oleh Linda Khoo Hui Li

BANGKOK, 2 Dis — Mahkamah Perlembagaan Thailand hari ini memutuskan tidak berlaku konflik kepentingan apabila Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha terus menetap di kediaman tentera meskipun sudah bersara sebagai Panglima Tentera pada 2014.

Keputusan itu bermakna Prayuth yang juga Menteri Pertahanan, masih boleh mengekalkan jawatannya. Sembilan hakim sebulat suara memutuskan Prayuth tidak melanggar kod etika.

Mahkamah berkata sebagai bekas Panglima Tentera dan atas sumbangan beliau kepada angkatan tentera, Prayuth berhak tinggal di kediaman itu di bawah peraturan tentera.

“Apabila beliau menjadi perdana menteri pada 24 Ogos 2014, pengadu (Prayuth) juga masih bertugas sebagai panglima tentera. Oleh itu, beliau memenuhi syarat untuk menghuni rumah itu dengan kedudukannya sebagai Panglima Tentera.

“Ketika beliau bersara pada 30 September 2014, beliau masih memenuhi syarat untuk tinggal di situ sebagai bekas panglima tentera. Seorang perdana menteri yang tidak pernah menjawat tugas panglima tentera tidak boleh menetap di kediaman itu,” kata mahkamah dalam keputusannya, lapor Bangkok Post.

Keputusan mahkamah hari ini dibuat ketika meningkatnya ketegangan politik apabila ribuan penunjuk perasaan berhimpun di Bangkok sejak pertengahan Julai menuntut perubahan politik, termasuk Prayuth meletak jawatan, pembubaran parlimen, penggubalan semula perlembagaan dan pembaharuan sistem beraja.

Anggota parlimen pembangkang, diketuai parti Pheu Thai mengemukakan petisyen pada Mac tahun ini, menyatakan terdapat konflik kepentingan apabila Prayuth menetap di kediaman tentera di Jalan Vibhavadi Rangsit di Bangkok selepas bersara.

Leave a Reply

%d bloggers like this: