Air Selangor jadi sasaran kemarahan rakyat

 

TATAKALA ada penduduk masih terkesan dengan masalah bekalan air yang berlaku pada bulan lalu, penduduk di 686 kawasan di Wilayah Petaling, Gombak, Klang, Shah Alam dan Hulu Selangor diuji lagi apabila terpaksa menghadapi masalah bekalan air bermula Jumaat lalu.

Sehingga semalam, 445 kawasan telah pulih dan selebihnya sedang diusahakan secara berperingkat.

Gangguan air kali ini bukan disebabkan oleh pencemaran sungai, tetapi disebabkan kejadian paip pecah berikutan tambakan tanah di atas paip oleh pihak ketiga hingga menyebabkan tekanan berlebihan pada paip di kawasan pembinaan Worldwide Seksyen U11, Shah Alam.

Bagi penduduk terjejas, masalah yang berlaku memang menguji kesabaran mereka terutama yang tinggal di rumah bertingkat kerana terpaksa mengangkut air.

Merak Jalanan simpati dengan dugaan yang menimpa penduduk dan turut bersimpati dengan pengurusan Air Selangor yang menjadi sasaran kemarahan penduduk.

Rata-rata netizen melepaskan geram mereka di media sosial dengan menyalahkan Air Selangor tanpa melihat kepada punca kes.

Sebenarnya tidak wajar untuk kita menyalahkan pihak Air Selangor semata-mata kerana masalah yang berlaku adalah di luar jangka dan bukan di bawah bidang kuasa mereka.

Misalnya kes pencemaran air di Sungai Gong, Rawang pada bulan lalu, ia dilakukan oleh pemilik kilang yang membuang bahan tercemar ke dalam sungai hingga menyusahkan jutaan penduduk.

Pihak Air Selangor juga telah mengambil langkah kontigensi seperti menghantar bantuan lori tangki air ke kawasan terjejas.

Oleh itu, sebagai rakyat yang bertanggungjawab, sama-sama kita bertimbang rasa dan rasional apabila menghadapi sebarang musibah.

Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my

 

Leave a Reply

%d bloggers like this: