Jepun mulakan ujian dron pemantau untuk pertahanan sempadan maritim

TOKYO, 15 Okt — Pengawal Pantai Jepun telah memulakan ujian pesawat dron buatan Amerika Syarikat (AS)  dalam usaha untuk memperkuat kemampuan pemantauan maritimnya, termasuk bagi mengesan kapal asing atau kapal tidak dikenali di zon ekonomi eksklusif negara itu.

Menurut agensi berita Sputnik, yang memetik laporan penyiar Jepun NHK pada Khamis, pesawat tanpa pemandu itu memiliki kemampuan untuk terbang merangkumi kawasan di luar zon ekonomi eksklusif.  Dikeluarkan oleh syarikat pertahanan AS, General Atomics Aeronautical Systems, dron SeaGuardian berukuran 12 meter (40 kaki) dan lebar 24 meter (80 kaki). Ia dilengkapi dengan radar dan kamera berdefinisi tinggi dan mampu melakukan penerbangan 24 jam tanpa gangguan.

Dron itu akan menjalani ujian di tiga wilayah – di pantai utara-timur dan selatan Jepun di Lautan Pasifik dan di sepanjang pantai Laut Jepun. Pesawat itu diprogram atau dikawal dari jauh di stesen kawalan di darat.

Fungsi dron yang akan diuji termasuk mengesan kapal asing dan bot penyelamat, memberi mereka isyarat amaran dan menghantar gambar masa nyata ke pusat kawalan.

Selain itu, kemampuannya akan diuji untuk mengumpulkan data yang berkaitan dengan aktiviti gunung berapi di pulau Nishinoshima di Pasifik.

SeaGuardian akan berlepas dan mendarat di pangkalan Hachinohe Pasukan Pertahanan Maritim Jepun di Aomori utara. Dron berkenan tidak akan diterbangkan ke kawasan perumahan, jelas laporan itu.

Pengawal Pantai Jepun kini merangkumi 33 pesawat peronda dan 52 helikopter. Pengenalan dron pemantau tersebut diperlukan apabila Jepun sering dicerobohi kapal asing, terutama yang dimiliki oleh China dan Korea Utara, ke zon ekonomi eksklusif dan wilayah perairannya.

— BERNAMA

Leave a Reply

%d bloggers like this: